Suspek pecah rumah dicekup tak sampai 24 jam

Hasil pemeriksaan menemui empat telefon bimbit pelbagai jenama, dua beg dan sekeping resit jual beli.
Hasil pemeriksaan menemui empat telefon bimbit pelbagai jenama, dua beg dan sekeping resit jual beli.
A
A
A

SABAK BERNAM - Dua rakan dicekup polis tidak sampai 24 jam selepas memecah masuk dua rumah dalam serbuan berasingan di sekitar Sekinchan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek berusia 26 dan 24 tahun itu ditahan sepasukan anggota Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam pada jam 10 malam.

Menurutnya, polis bertindak atas maklumat daripada dua pemilik rumah yang mendakwa rumah mereka dimasuki pencuri pada hari sama.

"Hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu sebuah pusat snooker di Jalan Menteri Besar, Sekinchan dan menahan suspek pertama berusia 26 tahun.

"Ketika soal siasat suspek mengaku melakukan jenayah itu bersama seorang lagi rakannya berusia 24 tahun," katanya pada sidang media di IPD Sabak Bernam, di sini hari ini.

Nor Azmi berkata, polis kemudian menahan suspek kedua di rumah keluarganya di sebuah taman perumahan sekitar Sekinchan.

Menurutnya, pemeriksaan menemui empat telefon bimbit pelbagai jenama, dua beg dan sekeping resit jual beli.

"Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah tetapi ada rekod lampau jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek pertama mempunyai tujuh rekod lampau jenayah manakala suspek kedua mempunyai tiga rekod jenayah lampau. Mereka direman tiga hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.