Lelaki ditangkap ketika cuba curi kereta

Suspek ditahan selepas dipercayai cuba mencuri sebuah kereta di pasar raya di Lembah Sireh. Gambar kecil: Abdul Rahim
Suspek ditahan selepas dipercayai cuba mencuri sebuah kereta di pasar raya di Lembah Sireh. Gambar kecil: Abdul Rahim
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki diikat kaki dan tangan selepas didakwa cuba mencuri sebuah kereta di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Lembah Sireh di sini petang semalam.

Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, dalam kejadian jam 4.20 petang itu, polis menerima panggilan telefon daripada pengawal keselamatan pasar raya yang melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di tempat letak kereta pasar raya berkenaan.

“Suspek menuju ke sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna merah kemudian masuk ke dalam kereta itu melalui but belakang dan pengawal keselamatan terus menghubungi pihak polis.

“Pengawal keselamatan tersebut bersama rakan sekerja kemudian bertindak menahan suspek dan berlaku pergelutan. Pengawal keselamatan terpaksa meminta pertolongan daripada orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Semalam rakaman suspek diberkas orang awam dan diikat dengan tali pada kaki serta tangannya tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Abdul Rahim berkata, pemilik kereta tersebut turut menerima pesanan WhatsApp daripada rakan yang kebetulan berada di tempat kejadian.

“Sebaik tiba mangsa mendapati pintu hadapan kereta dibuka, kunci but kereta juga tiada dan ditampal menggunakan pelekat warna putih.

“Enjin kereta dihidupkan dengan menggunakan kunci sedangkan kunci sebenar ada dalam simpanan mangsa,” katanya.

Katanya, suspek berusia 36 tahun diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan semakan mendapati dia mempunyai 31 rekod kesalahan lampau membabitkan pelbagai jenayah dan dadah.

Artikel Berkaitan:

“Suspek beralamat di Kampung Jelor Pasir Puteh turut positif methamphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri kenderaan,” katanya.