Gabung UMT-UniSZA: Pemuda PH sedia jadi orang tengah

Mohd Huzaifah
Mohd Huzaifah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda Pakatan Harapan (PH) Terengganu bersedia menjadi ‘orang tengah’ atau penghubung antara mahasiswa dan kerajaan susulan cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Timbalan Ketua Pemuda PH Terengganu, Mohd Huzaifah Md Suhaimi berkata, pihaknya telah mengadakan perjumpaan tertutup bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT.

Ia susulan bantahan yang dianjurkan oleh MPP UMT pada Khamis lalu, di mana lebih 1,000 mahasiswa universiti itu berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap cadangan penggabungan itu.

“Beberapa isu yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut antaranya tuntutan pembabitan wakil pelajar UMT dalam perbincangan mengenai cadangan penggabungan tersebut dan isu-isu yang lain.

“Pemuda PH bersedia untuk membantu bagi memastikan satu kata sepakat melibatkan kedua-dua belah pihak dapat dicapai secara muafakat bersama, bagi menjamin masa depan yang lebih cerah baik kepada UMT mahupun mahasiswa itu sendiri,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahasiswa bantah gabung UMT, UniSZA

Dalam himpunan yang berlangsung lebih satu jam di Dewan Sultan Mizan, UMT Khamis lalu, mahasiswa UMT membuat bantahan secara aman bagi menolak cadangan penggabungan itu.

Mereka turut melahirkan rasa khuatir dengan penggabungan itu kerana identiti dan fokus universiti itu akan hilang begitu sahaja.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, mereka menuntut penjelasan daripada pihak Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung cadangan berkenaan dan akan menghantar petisyen bantahan kepada KPM.