David Cameron dedah ‘perangai sebenar’ Boris Johnson

David Cameron
David Cameron
A
A
A

LONDON - Boris Johson tidak percaya dengan Brexit ketika kempen referendum pada 2016 dan menyokong langkah itu kerana ia dapat membantu karier politiknya.

Perkara itu didedahkan bekas Perdana Menteri, David Cameron menerusi memoir beliau, For the Record yang diterbitkan hari ini.

Beliau turut menyelar Menteri Alam Sekitar, Michael Gove yang didakwa tidak setia kepadanya dan Johnson yang kini mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada pendahulunya, Theresa May sejak Julai lalu.

Bekas Datuk Bandar London itu dan Gove didakwa berkelakuan ‘sangat buruk’ ketika kempen referendum Brexit dan turut melancarkan perang retorik terhadap kerajaan.

Cameron yang ketika itu menyokong ‘kekal’ meraih 48 peratus sokongan berbanding 52 peratus yang memilih untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Keputusan itu menyebabkan beliau meletak jawatan.

Menurutnya, Johnson ketika itu percaya kempen Brexit dapat menjadikan beliau ‘kesayangan’ Parti Konservatif selain yakin akan ada referendum kedua untuk mengesahkan syarat keluar dari EU.

Johnson ketika ini berdepan tentangan di Parlimen selepas beliau berkeras mahu meneruskan Brexit dengan atau tanpa perjanjian pada 31 Oktober depan. - AFP

Artikel Berkaitan: