Iran nafi tuduhan AS, dalangi serangan loji minyak Saudi

Asap tebal memenuhi ruang udara di fasiliti minyak di Abqaiq selepas serangan dron semalam.
Asap tebal memenuhi ruang udara di fasiliti minyak di Abqaiq selepas serangan dron semalam.
A
A
A

Iran menafikan tuduhan dilemparkan Amerika Syarikat (AS) bahawa mereka sebagai dalang di sebalik serangan ke atas loji minyak Arab Saudi hingga menjejaskan output minyak dunia.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi berkata, ia sememangnya satu tuduhan tidak berasas.

Sementara itu, Komander Aeroangkasa Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memberi amaran negara itu bersiap siaga untuk peperangan skala penuh dan aset ketenteraan milik AS kini berada dalam jangkauan misil mereka.

“Semua orang perlu tahu pangkalan AS dan kapal pengangkut pesawat mereka berada pada jarak sehingga 2,000 kilometer di sekitar Iran dan kedudukannya dalam julat peluru berpandu kami,” lapor agensi berita Tasnim memetik kenyataan Amirali Hajizadeh.

Terdahulu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo bertindak menuding jari menyalahkan Iran atas serangan itu dan turut menyatakan tiada bukti menunjukkan ia dilancarkan dari Yaman yang terletak lebih 1,000 kilometer dari lokasi serangan.

“Teheran kini telah melancarkan serangan tidak pernah berlaku sebelum ini dengan menyasarkan bekalan tenaga dunia,” ujarnya menerusi Twitter.

Menurutnya, AS akan bekerjasama dengan sekutu mereka untuk memastikan pasaran minyak tetap dibekalkan dan Iran bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka.

Beliau tidak menjelaskan bagaimana AS percaya Teheran sebagai dalang serangan tersebut dan dari mana ia dilancarkan.

Artikel Berkaitan:

Jejaskan keluaran minyak

Serangan dron ke atas dua loji minyak di Arab Saudi yang dilancarkan kumpulan pemberontak Houthi awal pagi semalam memberi kesan lebih separuh daripada output kerajaan yang dijangka bakal menyebabkan kenaikan harga minyak selain meningkatkan ketegangan di Timur Tengah.

Menurut kenyataan syarikat minyak, Saudi Aramco, serangan di Abqaiq dan Khurais itu akan mengurangkan hasil keluaran kepada 5.7 juta tong sehari atau lebih lima peratus daripada bekalan minyak global.

Ia tidak menyatakan garis masa bila output itu akan kembali normal, namun sumber rapat syarikat berkenaan memberitahu kapasiti penuh minyak itu mungkin mengambil masa selama beberapa minggu.

Beberapa rangkaian media Iraq pula mendakwa serangan itu dilancarkan kumpulan separa tentera disokong Iran di Baghdad, namun kerajaan menafikan dakwaan itu dan berikrar akan menghukum mana-mana pihak yang mahu menggunakan negara terbabit sebagai ‘tapak pelancaran’ serangan di rantau berkenaan.

Saudi sedia tindak balas

Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman (MBS) memberitahu Presiden AS, Donald Trump bahawa negara itu sanggup dan bersedia bertindak balas terhadap serangan terbaharu yang dilancarkan Houthi.

“Kami bersiap siaga dan mampu berdepan konfrontasi pengganas seperti ini,” katanya ketika menghubungi Trump di Rumah Putih.

Dalam satu kenyataan balas, Trump berkata, Washington sedia bekerjasama dengan Riyadh untuk melindungi keselamatan di rantau terbabit susulan serangan dron tersebut.

Difahamkan, serangan pada awal pagi itu yang didakwa didalangi pemberontak Houthi yang melancarkan peperangan ke atas gabungan Arab sejak perang saudara melanda Yaman sejak 2015 melibatkan 10 dron yang turut menyebabkan kebakaran besar di kompleks pemprosesan minyak terbesar di dunia di Abqaiq dan loji minyak utama di Khurais.

Turki yang merupakan sekutu Iran mengutuk serangan itu dan menggesa supaya mengelakkan sebarang langkah provokasi yang boleh menjejaskan kestabilan dan keselamatan rantau terbabit.

Emiriah Arab Bersatu yang merupakan rakan kongsi utama gabungan Arab melancarkan operasi ketenteraan di Yemen menyatakan sokongan penuh terhadap Riyadh memandangkan serangan itu ‘menyasarkan mereka’. - Agensi