Pendapatan negara melalui aktiviti beli-belah dijangka terus meningkat

Musa (kanan) melancarkan kempen ‘Year End Sale’ yang bermula pada 1 Oktober hingga 31 Disember.
A
A

KUALA LUMPUR - Tourism Malaysia menyasarkan peningkatan sebanyak lapan peratus lagi bagi pendapatan pelancongan negara yang disumbangkan menerusi budaya gaya hidup dan beli-belah pelancong.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran tersebut tahun ini berdasarkan rekod peningkatannya sejak 2017.

Menurutnya, berdasarkan kajian juga aspek membeli-belah telah mengatasi sumbangan pendapatan daripada aspek penginapan bagi empat tahun berturut-turut.

“Budaya tersebut menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan pelancongan negara iaitu sebanyak RM28.1 bilion pada tahun lepas yang merupakan satu peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding tahun 2017.

“Jadi untuk tahun ini kita sasarkan peningkatan antara lima hingga lapan peratus lagi. Saya percaya kita mampu meningkatkan jumlah tersebut kerana setiap urus niaga dibuat dalam Ringgit Malaysia,” katanya pada sidang media selepas acara penutup Program Miss SHOPhia Shopping Hunt 3.0 di sini hari ini.

Seramai 400 peserta mewakili 100 kumpulan daripada kategori media, antarabangsa dan awam menyertai acara tahunan itu.

Peserta diberi tugasan mencari jawapan dengan menjelajah ke 10 pusat membeli-belah di ibu negara dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Acara itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM27,000 di samping cabutan bertuah dan kategori khas.

Mengulas lanjut, Musa berkata, penganjuran program tersebut sebagai langkah mempromosikan budaya membeli-belah dalam kalangan pelancong termasuk pra jualan akhir tahun yang bakal bermula 1 Oktober depan.

Katanya, penglibatan peserta antarabangsa juga secara tidak langsung mampu mempromosikan lagi usaha meningkatkan pendapatan pelancongan negara.

“Untuk penganjuran akan datang, kita akan pertingkatkan lagi pengisian dengan menggunakan pendekatan teknologi digital,” katanya.