Kemudahan minyak Arab Saudi diserang

Kepulan asap memenuhi ruang udara loji minyak Aramco di Abqaiq, semalam. - Foto AFP
Kepulan asap memenuhi ruang udara loji minyak Aramco di Abqaiq, semalam. - Foto AFP
A
A
A

KAHERAH - Lebih separuh pengeluaran minyak Arab Saudi dilaporkan terjejas susulan serangan pemberontak Houthi Yaman, semalam.

Menurut laporan syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Aramco, kerajaan itu yang merupakan pengeksport minyak utama mengalami kerugian 5.7 juta tong sehari selepas lojinya di Abqaiq dan Khurais diserang.

Berdasarkan statistik Pentadbiran Maklumat Tenaga AS, jumlah pengeluaran minyak Saudi mencecah sekitar 10 juta tong sehari dengan purata sebanyak 9.85 juta tong sehari pada Ogos.

Serangan menyebabkan kebakaran besar di kedua-dua kemudahan minyak yang terletak kira-kira 330 kilometer di timur laut Riyadh.

Presiden Aramco, Amin Nasser berkata, kebakaran berjaya dikawal dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Houthi mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan itu memberitahu, mereka telah menghantar 10 dron ke Saudi.

Jelas jurucakap Houthi, serangan adalah tindak balas undang-undang berikutan kempen ketenteraan diketuai Saudi terhadap mereka di Yaman.

"Serangan kami akan datang adalah lebih hebat. Rejim Saudi tidak mempunyai penyelesaian lain selain menghentikan keganasan di Yaman," katanya yang disiarkan menerusi televisyen pro Houthi, al-Masirah.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo bagaimanapun turut meletakkan kesalahan ke atas Iran dengan alasan tiada bukti kukuh mengatakan serangan datang dari Yaman.

"Kejadian itu adalah serangan yang tidak pernah berlaku pada mana-mana bekalan tenaga dunia sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Judd Deere dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan AS sedang memantau keadaan dan kekal komited dalam memastikan pasaran minyak global stabil serta dibekalkan dengan baik. - DPA