'Kerjasama UMNO-Pas bukti pembohongan'

Kamarul Bahrin
A
A

KUALA TERENGGANU- Penafian pemimpin UMNO dan Pas bahawa kedua-dua parti itu tidak akan bersama terbukti satu pembohongan kerana bimbang kehilangan undi penyokong setia.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Pas kini menjadi 'tongkat' dan pemberi nyawa kepada UMNO selepas parti itu kalah teruk pada PRU14.

“Paling aneh, Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) menyatakan pemimpin UMNO yang juga parti yang menarik royalti minyak akan dibawa masuk dalam kerajaan negeri yang diperintah Pas termasuk Terengganu dan Kelantan.

“Lebih aneh Kerajaan PH hari ini yang telah memberi semula royalti dan kebebasan menggunakan kemudahan di bawah kementerian dan kerajaan pusat seperti universiti dan sekolah tempatan, yang dahulunya dinafikan dan tidak dibenarkan oleh kerajaan UMNO-BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Raja Bahrin, segala perubahan positif yang dilakukan Kerajaan PH tidak diambil kira atau menjadi pertimbangan Pas.

"Pas sebaliknya mengambil UMNO menjadi rakan politik sementara Kerajaan PH yang bermurah hati membaiki situasi lama terus dimusuhi.

“Saya berpendapat ini adalah sangat tidak bertepatan dengan ajaran Islam di mana perbuatan baik patut diterima elok dan dibalas dengan tindakan baik yang sama.

“UMNO dan BN-Perikatan telah memusuhi dan menzalimi ahli Pas selama 62 tahun. Apakah dosa Kerajaan PH sejak setahun setengah kami memerintah berbanding pemerintahan UMNO selama 62 tahun?” soalnya.

Jelas beliau, sejarah akan melihat kebijaksanaan dan kematangan Pas dalam isu pentadbiran negeri serta keadilan mereka kepada penyokong setia yang telah banyak berkorban selama ini.

ARTIKEL BERKAITAN Hari ini hari paling gembira, kata Abdul Hadi