Kanak-kanak disyaki didera pengasuh

 Ahmad Dzaffir
Ahmad Dzaffir
A
A
A

SEMENYIH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan mengalami kecederaan dengan kesan lebam di bahagian belakang badan serta kaki disyaki didera oleh pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berhampiran Taman Pelangi pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas ibu mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 9.55 malam hari kejadian.

Beliau berkata, ibu mangsa menyedari kecederaan pada tubuh anaknya itu selepas mengambilnya di taska berkenaan pada jam 4.30 petang.

"Semasa pengadu mengambil anaknya, dia mendapati terdapat kesan luka di bahagian leher mangsa.

"Bagaimanapun pihak taska menyatakan bahawa tiada apa-apa yang berlaku ke atas anak pengadu dan dia kemudiannya tidak berpuas hati lalu membuat laporan di IPD Kajang," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, kanak-kanak terlibat turut dibawa bagi mendapatkan rawatan di Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Kanun Keseksaan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi balai polis terdekat atau menelefon pegawai penyiasat di talian 011-26177140," katanya.

Artikel Berkaitan: