X

Kindly register in order to view this article
!

Jerebu: Dua kawasan di Sarawak, Johor catat IPU sangat tidak sihat

Bandaraya Kuching masih diselubungi jerebu -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kuching di Sarawak dan Tangkak di Johor merekodkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada tahap tidak sihat kepada sangat tidak sihat iaitu melebihi 201, pagi ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga 10 pagi ini, Kuching mencatatkan bacaan 221 manakala Tangkak 206.

Jumlah stesen yang merekodkan bacaan tidak sihat meningkat kepada 32 berbanding 27 pada awal pagi tadi apabila lima stesen di tiga negeri iaitu Pahang, Sabah dan Sarawak yang sebelum ini merekodkan bacaan sederhana meningkat kepada tahap tidak sihat iaitu melebihi 101.

Enam stesen Sarawak mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Samarahan (195), Sarikei (148), Sri Aman (145), Sibu (144) dan Mukah (106).

Di Selangor, enam kawasan turut mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Johan Setia, Klang (191), Banting (170), Petaling Jaya (161), Shah Alam (155), Klang (152) dan Kuala Selangor (131).

Turut merekod bacaan IPU tidak sihat ialah Temerloh (155), Jerantut (144), Indera Mahkota, Kuantan (122), Balok Baru, Kuantan (115) dan Rompin (112), di Pahang; Segamat (146), Kluang (135) dan Kluang (135) di Johor; Alor Gajah (163), Bukit Rambai (159) dan Bandaraya Melaka di Melaka (153).

Kawasan lain yang turut mencatatkan kualiti udara tidak sihat ialah Port Dickson (177), Nilai (174) dan Seremban (148) di Negeri Sembilan; Tasek Ipoh (129) dan Pegoh Ipoh (114) di Perak; Batu Muda (169) dan Cheras, Kuala Lumpur ( 160) Putrajaya (163) dan Tawau, Sabah (125).

Sementara itu, sebanyak 33 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat bacaan IPU sederhana.

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: Tawau catat IPU tidak sihat pagi ini

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Di Perak, tinjauan Bernama di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) mendapati operasi penerbangan tiba dan berlepas berjalan seperti biasa dengan tiada yang dibatalkan setakat ini.

Penerbangan pertama oleh pesawat AirAsia yang membawa penumpang dari Johor Bahru tiba di LTSAS pada kira-kira jam 9 pagi seperti yang dijadualkan.

Setakat ini, hanya satu penerbangan dijadualkan semula iaitu oleh syarikat penerbangan tambang murah Singapura FlyScoot dari jam 9.40 pagi kepada jam 10.45 pagi.

Semalam, Pengurus LTSAS Mohd Ali Osman memaklumkan, semua penerbangan berlepas dibatalkan akibat jerebu yang menyebabkan jarak penglihatan terhad, manakala penerbangan tiba dilencongkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Bacaan IPU di Seri Manjung, Lumut yang tidak sihat semalam kini bertambah baik dengan status sederhana iaitu 95 setakat pada jam 9 pagi ini, selain Taiping (81) dan Tanjung Malim (98).

Sementara itu, di Sabah pula, Tawau merupakan daerah pertama untuk mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 107 iaitu di tahap tidak sihat setakat jam 6 pagi ini.

Berdasarkan rekod laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), sejak semalam trend bacaan IPU daerah itu terus meningkat dengan IPU pada jam 7 pagi semalam dicatatkan pada 60 berbanding 106 pada jam 6 pagi ini.

Dalam pada itu di laman sesawang JAS juga IPU Politeknik Kota Kinabalu ialah 74, diikuti Sandakan (70), Kota Kinabalu (56), Keningau (70) dan Kimanis (53), manakala Wilayah Persekutuan Labuan (63). - Bernama