Identiti tiga mangsa rentung dikenal pasti

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Identiti pemandu dan dua penumpang kereta yang rentung dalam kemalangan dengan dua buah lori di Kilometer 43 Jalan Temerloh-Bahau, Bera, 20 Ogos lalu sudah dikenal pasti.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, mangsa disahkan sebagai Sher Zaman Khan yang juga warga Pakistan dan isterinya Rosidah Hashim, 46, serta anak, Abdillah Nila,17.

Menurutnya, identiti mangsa dikenal pasti berdasarkan hasil keputusan DNA oleh Jabatan Forensik Petaling Jaya melalui ujian terhadap spesimen tulang dan darah mangsa.

“Jenazah mangsa yang berada di unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dijangka akan dituntut waris hari ini.

“Kita baru mendapat keputusan itu dan perkembangannya dimaklumkan kepada waris untuk menuntut jenazah hari ini," katanya.

Dalam kemalangan awal pagi itu, tiga sekeluarga terbabit ditemui rentung apabila kereta jenis Proton Wira yang dinaiki terbakar selepas terbabit kemalangan dengan dua buah lori di lokasi kejadian.

Dalam kejadian itu, pemandu kedua-dua lori terlibat tidak mengalami kecederaan.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta dinaiki tiga sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Triang menghala ke Kemayan.

Artikel Berkaitan:

Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan dua buah lori yang berada di laluan berkenaan.

Akibat kejadian, salah sebuah lori terbabas masuk longkang, bagaimanapun pemandunya selamat manakala semua mangsa terperangkap dalam kereta yang terbakar.