Jack Ma tinggalkan jawatan demi kebaikan

A
A
A

PENGUMUMAN tokoh korporat, Jack Ma meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Alibaba Group kelmarin sememangnya memeranjatkan banyak pihak terutamanya mereka yang berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Dalam pada namanya sedang memuncak naik dan Alibaba.com yang diterajuinya konsisten meraih untung berbilion ringgit di serata dunia, beliau membuat keputusan yang tidak diduga itu.

Tentu ramai mengatakan beliau kurang bijak kerana melepaskan jawatan berkenaan selepas bersusah payah membangunkan syarikat perdagangan elektronik terkenal dunia itu sejak 1999 lagi.

Namun, figura berusia 55 tahun dan mempunyai kekayaan hampir AS$40 bilion (RM170 bilion) itu mempunyai sebab tersendiri mengapa beliau berbuat demikian.

Ma berkata, beliau memilih bersara kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja kebajikan.

“Saya mendapat inspirasi untuk menjalankan kerja kebajikan daripada Yayasan Bill dan Melinda Gates,” katanya.

Niat Ma mahu melakukan kerja kebajikan itu bukan lagi satu rahsia. Ia diketahui umum selepas beliau menubuhkan Yayasan Jack Ma pada tahun 2014.

Menurut Duncan Clark, penulis buku Alibaba: The House That Jack Ma Built, Ma sebenarnya telah lama cenderung kepada kerja-kerja kebajikan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bekas guru bahasa Inggeris itu begitu berminat dengan pendidikan, kebajikan, alam sekitar dan pembangunan wanita.

Justeru, sudah sampai masanya beliau fokus kepada minatnya selepas dua dekad mengepalai syarikat bernilai AS$460 bilion (RM1.92 trilion) itu.

Ma yang juga ahli parti politik Komunis China dilahirkan pada 10 September 1964 di wilayah Hangzhou.

Sebelum bergelar bilionair terkenal dunia, beliau pernah melalui fasa hidup yang getir. Selain gagal mendapat 30 kerja yang dipohonnya, Ma juga pernah mengayuh basikal sejauh 112 kilometer setiap hari semata-mata mahu belajar bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, hidupnya berubah pada 1994 selepas beliau mengenali internet. Syarikat pertama yang ditubuhkan ialah Hangzhou Haibo Translation Agency manakala syarikat keduanya pula ialah China Pages.

Melalui syarikat keduanya itu, beliau berjaya meraih pendapatan sebanyak AS$800,000 (RM3.3 juta) dalam tempoh tiga tahun.