X

Kindly register in order to view this article
!

'Kami patuh arahan ditetapkan DBKL'

Kerja-kerja persiapan giat dilakukan oleh para petugas sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO-Pas mengecam kata-kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bahawa kedua-dua parti itu memasang bunting Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) lebih daripada jumlah yang dibenarkan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, tuduhan yang mengatakan UMNO-Pas berbohong tidak wajar dikeluarkan oleh seorang menteri.

“Kita sentiasa patuh dengan apa yang ditetapkan. Permohonan untuk pasang 1,000 bunting tetapi dapat surat kelulusan 150 bunting membabitkan lapan jalan.

“Beliau kata kami pasang 1,000 bunting membuatkan arahan penurunan bunting dikeluarkan. Kami pasang berdasarkan apa yang telah diluluskan.

“Kami tidak melihat kelulusan jumlah bunting yang sedikit akan menjejaskan kebangkitan rakyat untuk perlaksanaan HPU,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Annuar berkata, bayaran RM2,000 juga telah dijelaskan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tujuan pemasangan bunting berkenaan.

“Nak pasang 300 pun tak sampai bagaimana kata kami pasang lebih 1,000?,” katanya.

Terdahulu Aktivis Masyarakat, Datuk Mohd Razlan Rafii mengajak penyokong UMNO-Pas berarak ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas HPU Sabtu ini susulan arahan penurun bunting berkenaan.

Khalid dalam ciapan balas di Twitternya berkata, permohonan hanya untuk 150 bunting tetapi telah pasang lebih 1,000 bunting.

“Kejujuran pejuang Islamlah katakan. Bab bunting pun nak menipu. Beraraklah bersama dengan penipu-penipu yang memperalatkan agama untuk kepentingan politik mereka. Sudah terang lagi bersuluh.. atau.. tak pandai kira? Hahaha,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus