Teliti semula cadangan gabung dua universiti

Ahmad Samsuri (kiri) ketika menghadiri sesi Walk Through Bengkel Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Promamade di sini hari ini. Foto: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
Ahmad Samsuri (kiri) ketika menghadiri sesi Walk Through Bengkel Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Promamade di sini hari ini. Foto: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Pusat diminta mengkaji semula cadangan penggabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan mengambil kira kesan kepada semua pihak.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain kajian semula, semua pihak perlu mendapat penjelasan berhubung keperluan untuk menggabungkan dua universiti awam itu.

“Kerajaan bekerja bersama rakyat. Justeru, perlu ada penjelasan kepada awam mengapa perlu penggabungan universiti ini terutama membabitkan pihak berkepentingan.

“Sekiranya tidak digabungkan, adakah terdapat usaha lain yang boleh diambil misalnya daripada segi perkongsian kemudahan atau sumber dengan cara tertentu yang boleh mengelak implikasi kos hasil penggabungan itu,” katanya ketika diminta mengulas berhubung isu penggabungan dua universiti itu hari ini.

Ahmad Samsuri ditemui media selepas menghadiri sesi Walk Through Bengkel Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Promamade.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun universiti itu bukan di bawah kerajaan negeri tetapi keputusan itu mungkin mendatangkan impak kepada kakitangan universiti berkenaan.

“Kedua-dua universiti ini bukan di bawah tanggungan kerajaan negeri tetapi beroperasi di Terengganu. Ia serba sedikit memberi kesan kepada kita,” katanya.

Terdahulu, jemaah menteri yang bermesyuarat pada 4 September lalu bersetuju secara prinsip berhubung penggabungan UMT dan UniSZA.

Artikel Berkaitan:

Menurut Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan, penggabungan itu adalah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi dan penting bagi memantapkan lagi keupayaan universiti dalam meningkatkan kedudukan sosioekonomi selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

ARTIKEL BERKAITAN: