Lokasi sambutan Hari Malaysia ditukar angkara jerebu

Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini terpaksa dipindahkan dari Padang Merdeka, Kuching ke Stadium Perpaduan Negeri. -Foto Suara Sarawak
Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini terpaksa dipindahkan dari Padang Merdeka, Kuching ke Stadium Perpaduan Negeri. -Foto Suara Sarawak
A
A
A

KUCHING - Angkara jerebu, lokasi sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini terpaksa dipindahkan dari Padang Merdeka, Kuching ke Stadium Perpaduan Negeri.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi Penganjur, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pertukaran tempat sambutan Hari Malaysia terpaksa dilakukan demi kesihatan orang ramai.

“Persiapan 80 peratus sambutan Hari Malaysia terpaksa dihentikan selepas tempat acara terbabit dipindahkan ke Stadium Perpaduan Negeri.

“Selepas bermesyuarat dengan Jabatan Meteorologi, Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli dan Jabatan Alam Sekitar semalam, kita tiada pilihan menukar tempat acara demi kesihatan orang awam.

“Bagaimanapun, setiap acara sampingan yang dirancang tidak ditunda atau dibatalkan buat masa ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Awang Tengah, memang terdapat pihak yang kecewa dengan pertukaran tempat acara tetapi Jawatankuasa Pengelola tidak mahu memperjudikan kesihatan orang ramai.

“Ini kerana peserta yang terlibat telah tiga minggu membuat latihan atau persediaan yang sewajarnya. Namun, apabila jerebu melanda Sarawak terutamanya di bandar raya Kuching, maka kita perlu melakukan sedikit perubahan,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: Sekolah di lapan daerah di Sarawak ditutup

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, masalah jerebu dijangka berlarutan sehingga penghujung September ini apabila lebih 100 titik panas dikesan di Kalimantan.

“Keadaan bertambah buruk apabila arah angin bertiup dari Kalimantan ke Sarawak yang membawa jerebu,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Tengah memberi jaminan bahawa kerajaan Sarawak akan membuat yang terbaik untuk menjayakan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan berkenaan.

“Sekiranya cuaca mengizinkan, perarakan kereta berhias akan diteruskan menggunakan laluan dari Majlis Bandaraya Kuching Selatan ke Tebingan Kuching dan berakhir di iCom Square.

“Acara lain termasuklah memukul 300 dram, wayang kulit, mengibarkan Jalur Gemilang dan sebagainya,” katanya.- Suara Sarawak