23,000 pelajar UMT, UniSZA tolak penggabungan

A
A

KUALA TERENGGANU - Lebih 23,000 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan menggabungkan dua universiti tersebut.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMT, Muhammad Hasyimi Hasyim Mohd Suddin, 22, berkata, UMT dan UniSZA mempunyai identiti berbeza dan dibimbangi jati diri institusi tersebut akan hilang.

"UniSZA lebih kepada keagamaan manakala UMT banyak fokus ilmu laut dan marin. Ia jelas dua identiti berbeza.

"Keputusan ini juga menimbulkan banyak persoalan, sekiranya digabungkan nama apa yang akan digunakan, UMT atau UniSZA?" soalnya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sehubungan itu, kata Muhammad Hasyimi Hasyim, pihaknya akan mengadakan perhimpunan aman pada jam 5 petang esok bagi menzahirkan bantahan penggabungan kedua-dua universiti berkenaan.

Presiden MPP UniSZA, Harun Osman, 24, yang senada dengan Muhammad Hasyimi Hasyim berkata, pihaknya menolak gabungan itu dan berharap kerajaan menilai kembali keputusan berkenaan.

UMT yang terletak berhampiran dengan UniSZA mempunyai kira-kira 11,000 pelajar manakala UniSZA pula seramai 12,262 pelajar.

ARTIKEL BERKAITAN: Wakil pelajar minta nilai semula gabung UMT, UniSZA