Jerebu di Malaysia jangan salahkan Indonesia

Seorang penunggang motosikal dilihat memakai topeng muka dan hidung untuk melindungi dirinya dari jerebu tebal yang melanda ibu kota dengan bacaan IPU 147 iaitu pada tahap tidak sihat ketika dirakam sekitar 5 petang tadi. -Foto Bernama
A
A

JAKARTA - Jerebu yang melanda Malaysia sejak lebih sebulan lalu sehingga memaksa sekolah ditutup berpunca daripada kebakaran hutan di tempat sendiri dan bukan dari Indonesia, tegas kerajaan Jakarta dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kementerian Pertahanan Indonesia, imej satelit yang diambil minggu lalu menunjukkan kehadiran kebakaran hutan di Malaysia.

"Terdapat peningkatan mendadak di kawasan panas di beberapa bahagian Asia Tenggara, bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di Semenanjung Malaysia dan sebahagian Vietnam," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, sebanyak 1,423 kebakaran berpotensi didaftarkan di Semenanjung Malaysia Sabtu lalu, peningkatan daripada 1,038 pada hari sebelumnya selain terdapat pertambahan di Sarawak.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar mendakwa Malaysia tidak telus mengenai kebakaran hutan di negara sendiri.

"Saya akan menghantar surat kepada Duta Besar Malaysia. Pendapat saya data mereka perlu diperbaiki," katanya kepada Tribunnews.com.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, dan beberapa pegawai telah mengadakan pertemuan dengan kakitangan Kedutaan Indonesia untuk membincangkan isu tersebut.

"Malaysia mengulangi perhatiannya terhadap kesan berterusan jerebu trans-sempadan kepada rakyat negara ini dan tawaran untuk membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera," katanya. - DPA


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia