Jerebu: KKM gesa kurangkan aktiviti luar

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Guna pendingin hawa semasa memandu dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman antara salah satu langkah penjagaan kesihatan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menghadapi jerebu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM mengeluarkan 10 langkah pencegahan kepada orang ramai bagi menghadapi kesan jerebu yang sedang melanda ketika ini.

"Orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan tahap kualiti di kawasan masing-masing dengan mengambil langkah yang dikeluarkan KKM. Pertama, elakkan aktiviti fizikal di luar bangunan.

"Selari dengan saranan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, penganjuran melibatkan aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihatkan supaya ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

"Orang ramai juga diharapkan banyakkan berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar gunakan penutup hidung dan mulut yang sesuai.

"Selain itu, perlu juga tutup tingkap bagi kurangkan asap jerebu serta elakkan aktiviti yang boleh tingkatkan pencemaran udara dengan tidak merokok dalam rumah atau bangunan," katanya katanya menerusi satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu kerap minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga serta gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan.

Katanya, sekiranya berkemampuan pasang alat pendingin hawa dan penapis udara yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara daripada luar.

Artikel Berkaitan:

"Seperti dimaklumkan Jabatan Alam Sekitar, pada masa ini jerebu sedang melanda beberapa kawasan di negara kita dengan keadaan dijangka mungkin berterusan.

"KKM dengan kerjasama agensi berkaitan akan terus memantau keadaan jerebu serta keadaan pesakit yang dapatkan rawatan di klinik dan hospital KKM.

"Langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu juga boleh didapati menerusi laman sesawang KKM iaitu http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183," ujarnya.

No Image Caption