Korea Utara tembak dua peluru berpandu jarak dekat

No Image Caption
A
A
A

SEOUL - Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat dari rantau barat ke arah Laut Timur pada Selasa, beberapa jam selepas negara komunis itu menawarkan untuk menyambung semula rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan tentera Korea Selatan.

Peluru berpandu itu dilancarkan pada pukul 6.53 pagi dan 7.12 pagi dari kawasan di bandar Kaechon, Wilayah Pyongan Selatan, kira-kira 80 kilometer di utara ibu negara Pyongyang, ke arah timur, menurut Ketua Turus Bersama (JCS).

Kedua-dua peluru berpandu terbang sejauh kira-kira 330 kilometer, kata JCS sambil menambah bahawa pihak berkuasa perisikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat sedang menganalisis jenis sebenarnya. Ia bagaimanapun tidak memberikan maklumat mengenai kelajuan maksimum kedua-dua peluru berpandu.

"Tentera kami sedang memantau situasi itu kalau-kalau terdapat pelancaran tambahan selain mengekalkan kesiapsiagaan," kata JCS sambil menggesa Korea Utara "menghentikan segera tindakan sedemikian yang boleh meningkatkan ketegangan."

Sebagai tindakan balas kepada pelancaran terkini itu, Korea Selatan telah mengadakan satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (NSC), yang dipengerusikan Chung Eui Yong, ketua pejabat keselamatan negara presiden, bagi membincangkan isu tersebut.

Di Washington, seorang pegawai kanan kerajaan Amerika Syarikat berkata, pihaknya menyedari pelancaran peluru berpandu terkini itu dan sedang memantau rapat situasi dengan kerjasama sekutunya.

Pelancaran itu dilakukan beberapa jam selepas Naib Menteri Luar Pertama Korea Utara, Choe Son Hui menyatakan kesediaan untuk menyambung semula rundingan pembasmian senjata nuklear dengan AS pada akhir September dan mendesak agar Washington menyediakan satu cadangan baharu yang boleh diterima oleh Pyongyang.

Langkah itu boleh dirangka untuk memperkukuh kedudukan Pyongyang menjelang rundingan nuklear yang telah terhenti sejak sidang kemuncak antara Presiden AS Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada Februari gagal menghasilkan sebarang perjanjian.

Artikel Berkaitan:

Pelancaran pada Selasa merupakan yang ke-10 seumpamanya bagi tahun ini, yang menyaksikan Korea Utara menguji jenis baharu peluru berpandu atau pelancar roket pelbagai sebagai bantahan terhadap latihan ketenteraan bersama antara AS dan Korea Selatan.

Kali terakhir Korea Utara melakukan pelancaran sedemikian ialah pada 24 Ogos dan berkata ia menguji sistem pelancaran roket pelbagai baharu yang "luar biasa besar." - Bernama