X

Kindly register in order to view this article
!

Tarik balik gelaran UMNO kafir baru meterai piagam, kata Tun M

Dr Mahathir (tiga dari kanan) merasmikan Konvensyen Padi peringkat kebangsaan hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Pas perlu menarik balik kenyataan yang melabel UMNO sebagai kafir sebelum kedua-dua parti itu memeterai piagam UMNO-Pas Sabtu ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih relevan, kecuali beliau membuat kenyataan rasmi memohon maaf terhadap UMNO.

Menurutnya, sekiranya Pas tidak menarik balik gelaran itu, bermakna parti itu juga disifatkan kafir kerana menjalin kerjasama dengan UMNO yang dilabel sebagai kafir sebelum ini.

“Pas tidak pernah menarik balik kenyataan itu. Masih ada amanat Hadi kata UMNO kafir, kenyataan itu belum ditarik balik sehingga kini. Kalau Pas tidak mahu jadi kafir, buatlah kenyataan kami minta maaf kerana pernah kata UMNO kafir tapi sekarang mereka dah insaf. Tarik balik secara rasmi, barulah adakan piagam,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Padi peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas yang bakal dimeterai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur Sabtu ini.

Program dua hari itu bakal menyaksikan kedua-dua parti menandatangani piagam kerjasama yang dilihat untuk mengukuhkan blok pembangkang selain mahu menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kerjasama antara dua parti itu tidak memberi sebarang makna.

“Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun tidak hentikan peperangan, apatah lagi piagam UMNO-Pas. Tidak akan jadi apa kerjasama itu. Dulu mereka bermusuh sekian lama, Pas kata UMNO kafir, kalau adakan kerjasama dengan orang kafir, jadi kafirlah,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus