Ganggu teman wanita dipercayai motif pembunuhan

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Polis tidak menolak motif pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemukan dengan kesan terbakar dan beberapa tikaman di Sungai Kampung Sungai Puyu, Pasir Puteh Rabu lalu dipercayai berpunca kerana mengganggu teman wanita salah seorang suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, siasatan awal mendapati berkemungkinan mangsa yang berusia 26 tahun itu dibunuh kerana sering mengganggu teman wanita suspek.

Menurutnya, setakat ini seramai 11 suspek termasuk empat wanita ditahan berusia antara 16 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan.

“Penahanan kesemua suspek dilakukan secara berasingan di sekitar Pasir Puteh serta dua daerah berdekatan pada Sabtu lalu dan semalam.

“Penahanan dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari Jerteh, Terengganu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Khairuddin berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa mati akibat pukulan objek tumpul di kepala selain beberapa tikaman di badan.

“Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas kesemua suspek yang ditahan secara berasingan mulai 4 September lalu hingga semalam (kelmarin).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mayat dengan kesan terbakar di muka dijumpai penduduk yang melalui laluan tepi sungai di Kampung Sungai Puyu, Pasir Puteh pada jam 3 petang Rabu lalu.

Mangsa ditemui berseluar pendek dan dipercayai sudah mati beberapa hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak serta berbau busuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Kesan pukul, terbakar pada mayat