Remaja lelaki laku aksi 'wheelie' direman, teman wanita bebas

Sinar Harian pada Isnin melaporkan penahanan pasangan kekasih yang melakukan aksi 'wheelie' di Kampung Balok selepas video mereka tular di laman sosial.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan penahanan pasangan kekasih yang melakukan aksi 'wheelie' di Kampung Balok selepas video mereka tular di laman sosial.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Remaja lelaki yang menunggang motosikal dengan teman wanitanya dengan membuat aksi 'wheelie' di Jalan Chendor Kuantan menghala ke Kemaman pada Ahad telah ditahan reman.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, remaja lelaki yang menetap di Kampung Balok di sini direman selama empat hari bermula sehingga 5 Mei ini.

"Penahanan reman dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Suspek kedua yang merupakan kekasihnya pula dibebaskan dengan jaminan polis hari ini," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Pada Ahad, tular satu video berdurasi 54 saat itu di laman sosial, selepas pasangan tersebut melakukan aksi wheelie di Jalan Chendor Kuantan menghala ke Kemaman.

Kedua-dua remaja berusia 17 tahun itu ditahan pihak polis di hadapan rumah lelaki terbabit di Kampung Balok di sini pada Isnin.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan diteruskan dan akan mendapatkan arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan.

"Kita jangka suspek akan dituduh di mahkamah pada 5 Mei ini," ujarnya.