Terengganu tunggu baki bayaran royalti RM250 juta

Dr Ahmad Samsuri dan pengurusan Epic bergambar kenangan bersama pengamal media.
Dr Ahmad Samsuri dan pengurusan Epic bergambar kenangan bersama pengamal media.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri masih menantikan sekurang-kurangnya RM250 juta baki royalti minyak bagi tahun ini yang perlu dilunaskan kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan Pusat untuk melihat kembali jumlah secara keseluruhannya yang patut diterima Terengganu bagi tahun 2018 dan melunaskan baki yang seharusnya dikembalikan.

“Ada bayaran yang telah dibuat oleh Perbendaharaan, Kementerian Kewangan kepada kerajaan negeri secara terus selepas berakhir PRU14 iaitu selepas pembentukan kerajaan negeri pada 10 Mei.

“Sebanyak tiga pembayaran telah dibuat iaitu sebanyak RM450 juta. Kita merasakan walaupun 2018 hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, ia masih menjadi tanggungjawab Perbendaharaan untuk menjelaskan baki, tidak kira beberapa hari sahaja lagi tahun 2018 atau awal 2019.

“Pada kita, ia adalah royalti dengan apa jua bayaran oleh kerajaan Persekutuan, kerana ia berdasarkan perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan negeri Terengganu, kerajaan Pusat dan Petronas pada tahun 1974,” katanya selepas Majlis Malam Penghargaan Media Bersama Epic Berhad di Hotel Permai, di sini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Epic, Mohd Shamsol Bahrin Mohd Kamil dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Ditanya mengenai keperluan untuk mengkaji semula Belanjawan 2019 sekiranya bayaran balik royalti belum diterima, Dr Ahmad Samsuri berkata, ia masih terlalu awal untuk dibincangkan.

“Kita akan lihat perkembangan dari semasa ke semasa, dan jika suku pertama tahun depan masih lagi menggunakan kadar yang dirangka dalam belanjawan itu. Kita akan tengok kajian selepas suku pertama, bagaimana cara yang sepatutnya kita uruskan kewangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pihaknya akan berbincang tentang penubuhan jawatankuasa khas yang terdiri daripada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang untuk memperjuangkan wang royalti minyak dalam masa terdekat.

Sebelum ini, dua bekas menteri besar iaitu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Datuk Seri Ahmad Said menyuarakan kesanggupan untuk bersama-sama dalam memperjuangkan royalti yang menjadi hak rakyat Terengganu.

“Sebelum pergi ke Putrajaya (perbincangan royalti), tentunya cadangan pembentukan jawatankuasa itu haruslah dibuat di sini dahulu. Saya jangkakan akan duduk berbincang dalam masa terdekat, bagaimana cara gerak kerja untuk mendapatkan royalti Terengganu,” katanya.