Suami isteri ditahan curi susu untuk dijual semula

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai mencuri pelbagai barangan termasuk sejumlah susu di sebuah pasar raya di Southkey di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, lelaki dan wanita masing-masing berusia 53 dan 49 tahun dari Senai dekat Kulai itu didapati mencuri beberapa barangan termasuk 10 tin susu jenama Ensure.

"Kejadian pada 7.40 malam itu disedari seorang pengawal keselamatan pasar raya berkenaan yang sedang melakukan rondaan di parkir kereta apabila ternampak seorang lelaki dalam keadaan tergesa-gesa menolak sebuah kereta sorong bayi menuju ke sebuah kenderaan di parkir pasar raya berkenaan.

"Pengawal keselamatan itu kemudian bertindak menahan lelaki terbabit dan terus memintanya mengemukakan resit bayaran, namun lelaki itu gagal mengemukakannya," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasangan itu cuba melarikan diri, namun lelaki tersebut berjaya ditahan di kawasan parkir manakala isterinya ditahan di laluan keluar tangga eskalator pasar raya itu.

"Hasil pemeriksaan di dalam but sebuah kereta jenis Proton Perdana kemudian menemukan pelbagai barang yang dipercayai dicuri iaitu empat tin susu Glucerna 850 gram (g), satu tin susu Enercal Plus 900g.

"Selain itu, dua tin Appeton Wellness 60+ 900g, dua kotak Pati Ayam Brands (Original) 30x70g dan lima kotak Pati Ayam Brands (Cordyceps) 12x70g dan 10 tin susu Ensure 850g," katanya.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (cctv) jelas menunjukkan perbuatan keduanya mencuri barangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Rakaman menunjukkan si suami berpura-pura menolak kereta sorong bayi manakala si isteri bersedia di dalam kedai dan mengalihkan kedudukan barang yang dicuri ke ruang tempat tiada staf.

"Si isteri kemudiannya memasukkan barang ke dalam kereta sorong bayi yang ditolak si suami dan selepas itu, suami tersebut keluar daripada kedai dan meletakkan barang dicuri di dalam kereta sementara si isteri berpura-pura seperti tidak mahu membeli barang dan keluar dari kedai," katanya.

Shahurinain berkata, kesemua barangan yang dicuri termasuk sebuah kereta sorong bayi berwarna hitam yang digunakan bagi tujuan mencuri itu kini dirampas untuk siasatan lanjut.

"Hasil soal siasat, kedua-duanya mengaku mencuri kesemua barang tersebut selain mengakui perbuatan terbabit sudah kali kedua dilakukan dengan alasan mereka tidak bekerja dan barangan yang dicuri tersebut akan dijual semula bagi mendapatkan wang.

"Semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod berkaitan curi pada tahun 2011 dan 2013 manakala isterinya tiada rekod jenayah. Polis akan memohon perintahan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama