X

Kindly register in order to view this article
!

Juruterbang British Airways mogok berikutan isu gaji

A
A

LONDON - Juruterbang syarikat penerbangan British Airways (BA) nekad melancarkan mogok hari ini sekali gus menyebabkan kemungkinan hampir kesemua penerbangannya tergendala selama dua hari.

Dilaporkan, BA dan 4,300 juruterbangnya terlibat dalam pertikaian melibatkan isu gaji yang berlarutan selama sembilan bulan dan mogok tersebut akan menjejaskan jadual perjalanan hampir 300,000 penumpang.

Kerajaan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menggesa kedua-dua pihak bertelagah duduk berbincang bagi menyelesaikan kekusutan.

Namun pihak BA dilaporkan mengugut akan menarik keistimewaan perjalanan percuma yang diberikan kepada juruterbang dan keluarga mereka sekiranya mogok diteruskan.

"Kami tidak akan memohon maaf kerana melakukan segala yang termampu bagi melindungi pengguna kami daripada gangguan," kata jurucakap BA kepada Financial Times.

Sementara itu, Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan British (BALPA) menolak kenaikan gaji sebanyak 11.5 peratus dalam tempoh tiga tahun yang dikemukakan BA pada Julai lalu.

Menurut BA, tawaran tersebut membolehkan kapten penerbangan menerima bayaran 'kelas dunia' dan faedah berjumlah £200,000 (RM1,026,590) setahun.

Ia turut menekankan bahawa dua lagi kesatuan mewakili 90 peratus pekerja syarikat penerbangan itu sudah menerima kenaikan tersebut.

Bagaimanapun, BALPA berkata, purata gaji juruterbang bersama adalah kira-kira £70,000 (RM359,257) dan gaji juruterbang muda menurun kepada £26,000 (RM133,447).

Ini menyebabkan kebanyakan mereka menanggung bebanan hutang kerana terlebih dahulu terpaksa menjalani latihan yang dianggarkan berjumlah £100,000 (RM513,260).

Kesatuan turut mendakwa BA tidak memberi jawapan berhubung tawaran dibuat Rabu lalu.

Susulan mogok yang dijangka diadakan selama dua hari bermula hari ini, para juruterbang merancang mengadakan satu lagi mogok pada 27 September dan ketika cuti musim sejuk sekiranya pertelingkahan berterusan.

Dalam pada itu, BA berkata, sebahagian besar penumpangnya membuat rancangan perjalanan alternatif atau menerima pulangan wang sejak diberitahu kemungkinan berlaku mogok.

"Kami meminta maaf maaf di atas segala kesulitan," kata kenyataan BA kepada pelanggannya semalam. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!