Hate speech dan kebebasan bersuara

A
A
A

BARU-BARU ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan kenyataan media yang menggesa orang awam untuk melaporkan kepada SKMM insiden atau kandungan yang mengandungi elemen-elemen 3R (Race, Religion and Royalty) iaitu bangsa, agama dan raja kepada suatu talian WhatsApp atau alamat emel yang kedua-duanya disediakan SKMM.

Reaksi terhadap kenyataan media ini adalah pelbagai. Ramai yang berpendapat bahawa ini akan menjadikan negara ini sebuah negara yang asyik memantau apa yang dilakukan oleh rakyat, dalam bahasa Inggeris, frasa yang digunakan adalah nanny state. Ada juga yang menzahirkan kebimbangan tentang isu privasi, di samping bahawa ia menggalakkan budaya merepot.

Jika dilihat kenyataan SKMM tersebut, nampak seperti laporan yang boleh dibuat adalah berkait dengan kandungan yang mempunyai elemen 3R itu. Tidak seperti sebelum ini apabila SKMM memberi amaran untuk tidak ‘menghina’ atau ‘mengaibkan’ pemimpin seperti tindakan yang diambil terhadap karya-karya Zunar dan Fahmi Reza, dan mereka yang mengkritik kerajaan.

Tidak boleh dinafikan bahawa tuturan kebencian (hate speech) semakin menjadi-jadi mutakhir ini. Saya sendiri telah terjumpa mesej atau kandungan yang menghasut kebencian terhadap orang lain di dalam WhatsApp atau media sosial. Membaca kandungan-kandungan ini membuat saya takut dan bimbang.

Saya sendiri juga pernah membuat laporan kepada SKMM berkenaan dengan beberapa mesej hate speech yang saya terima. Setelah membuat laporan melalui saluran WhatsApp SKMM, saya telah mendapat mesej akuan terima daripada pihak SKMM. Namun demikian, saya tidak tahu apa yang terjadi dengan laporan saya buat masa ini.

Kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah kebebasan yang dilindung oleh Perlembagaan Persekutuan. Ia juga merupakan hak asasi manusia. Tetapi ia boleh disekat apabila ia digunakan untuk hate speech, contohnya. Dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, hate speech adalah sekatan yang dibenarkan ke atas kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat.

Namun pada masa yang sama, perkara yang dibangkitkan terhadap kenyataan media SKMM wajar dipertimbangkan. Nilai ambang untuk membuat siasatan dan tangkapan oleh SKMM bagi laporan-laporan awam mestilah cukup tinggi. Kita tidak mahu situasi di mana tangkapan dibuat dengan kerap akibat daripada laporan-laporan yang dibuat. SKMM mesti mengeluarkan garis panduan berkenaan dengan keadaan mana akan membolehkan siasatan dan tangkapan dibuat.

SKMM mesti berupaya untuk memperhalusi laporan-laporan yang diterima untuk memastikan bahawa hanya keadaan yang benar-benar berkaitan dengan hate speech akan diambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan juga wajar membuat pindaan terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Pada masa ini, seksyen tersebut adalah terlalu luas dan menjenayahkan komen ‘jelik’, tanpa mentakrifkan apa maknanya ‘jelik’. Seksyen tersebut sewajarnya hanya menjadikan hate speech, mengganggu, mengugut dan hasutan terhadap keganasan, dan bukannya kandungan yang jelik sahaja.

Ia bagi memastikan bahawa undang-undang tersebut tidak disalahgunakan, seperti yang kita lihat apabila sebelum ini, mereka yang mengkritik kerajaan ditahan dan didakwa di mahkamah di bawah seksyen tersebut.

Kerajaan mesti memastikan bahawa undang-undang yang sedia ada boleh mengimbangi di antara kebebasan dan keperluan untuk mengekalkan keharmonian dan kemakmuran dalam negara.

Dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, hate speech adalah sekatan yang dibenarkan ke atas kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat.* Syahredzan Johan ialah peguam, di sebuah firma di Kuala Lumpur