Ainul Mardhiah akhirnya pulang ke rumah

Ainul Mardhiah ketika ditemui di rumahnya di Taman Ayer Molek, di sini hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Selepas empat bulan mendapatkan rawatan sehingga ke London, England bagi membuang ketumbuhan dalam mulutnya, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang berusia 13 bulan akhirnya pulang semula ke rumahnya di Taman Ayer Molek di sini semalam.

Ainul Mardhiah yang sebelum ini menderita penyakit sel kanser mulut Germ Cell Tumor bersama ibu bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, dan Nurul Erwani Zaidi, 23, dibenarkan pulang dari Hospital Melaka sehari selepas dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur kelmarin.

Menurut Ahmad Safiuddin, sejak pembedahan itu, anaknya menunjukkan perkembangan positif termasuk berat badan bertambah dari 2.3 kilogram (kg) kepada 3.8kg selain memberikan tindak balas terutama apabila namanya dipanggil dan mula pandai bermain.

Katanya, apa yang berlaku segalanya dengan keizinan ALLAH SWT yang memanjangkan usia permata hatinya dan yakin segala perkembangan anaknya termasuk meniarap dan sebagainya akan berlaku namun ia memerlukan masa.

"Malam tadi Ainul Mardhiah tidur lena dan dalam proses menyesuaikan diri di rumahnya sendiri.

"Alhamdulillah syukur, beberapa bulan pelbagai risiko yang dilalui kami akhirnya dapat pulang ke rumah," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di sini hari ini.

Ahmad Safiuddin berkata, anaknya akan mendapatkan rawatan susulan di Hospital Melaka dan menggunakan bantuan mesin oksigen kerana belum dapat menelan air liur dengan baik.

Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani bersyukur dan gembira melihat perkembangan positif Ainul Mardhiah.
Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani bersyukur dan gembira melihat perkembangan positif Ainul Mardhiah.

Tambahnya, memandangkan anaknya belum pulih sepenuhnya, dia dan isteri perlu menitikberatkan aspek kebersihan dengan kerap kali mencuci tangan dan mandi.

Menurutnya, dia juga memohon maaf dan meminta orang ramai memahami dengan tidak mendukung anaknya sekiranya bersua atas faktor kesihatan.

"Kami tahu ramai yang mengambil berat tentang Ainul Mardhiah dan mahu mendukungnya namun kami harap masyarakat faham, bukan kami menghalang atau sombong tapi kesihatan Ainul Mardhiah perlu menjadi keutamaan.

"Terima kasih rakyat Malaysia tidak kira bangsa membantu anak kami sehinggakan berjaya menjalani pembedahan," katanya.

Sebelum ini, ketumbuhan seberat 200 gram di mulut bayi itu berjaya dibuang pada 10 Jun lalu selepas menjalani pembedahan selama lima jam.

Pembedahan itu dilaksanakan oleh sekumpulan pakar bedah dan bius diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Penderitaan Ainul Mardhiah juga mendapat perhatian orang ramai yang menyumbang sehingga RM4 juta bagi membolehkan bayi itu diterbangkan ke London untuk menjalani pembedahan.