Gangguan sistem KLIA: Polis akan panggil pakar

ABDUL HAMID
ABDUL HAMID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil pakar dalam bidang berkaitan bagi membantu siasatan kes gangguan rangkaian sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, buat masa ini tiada sebarang petunjuk drastik untuk pihaknya memastikan berlakunya sabotaj atau sebaliknya.

"Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu dengan mengkaji daripada kenyataan yang direkodkan daripada individu sebelum ini.

"Kita juga akan panggil pakar-pakar dalam bidang itu untuk dapatkan kefahaman dalam perkara itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Negara di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Gangguan sistem di KLIA mula dikesan sejak 21 Ogos lalu berpunca daripada masalah sistem pelayan KLIA sekali gus menyebabkan banyak jadual penerbangan mengalami kelewatan.

Sistem di KLIA kemudian dilaporkan pulih selepas empat hari mengalami gangguan.

Dalam kes berlainan, mengulas tentang kes rusuhan di Arena All Stars, Ampang, pada malam 31 Ogos lalu, membabitkan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, 37, yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Hamid berkata, usaha mengesannya masih dijalankan biar pun pengadu telah menarik semula laporan.

Artikel Berkaitan:

"Kita masih cari Farhash untuk kita rekod percakapannya sebelum kertas siasatan dihantar ke pihak timbalan pendakwa raya untuk keputusan sama ada kes tersebut tiada tindakan lanjut (NFA) atau sebaliknya," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut mengulas tentang klip video yang memaparkan pelaku mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, ada beberapa tindakan untuk siasatan pihaknya bagi mengumpul bahan bukti.

"Kes ini masih dijalankan dan ia tidak mati. Soal masa itu kita tak dapat tentukannya, kita pasti akan ambil tindakan secepat mungkin untuk selesaikannya dengan segera.

"Tindakan akan ambil terhadap pelaku serta penyebar," katanya.