173 rumah rosak dibadai ribut

Kejadian ribut turut mengakibatkan pokok tumbang di DUN Wakaf Mempelam. - Foto Facebook Wan Sukairi.
Kejadian ribut turut mengakibatkan pokok tumbang di DUN Wakaf Mempelam. - Foto Facebook Wan Sukairi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 173 rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam dekat sini terjejas akibat ribut yang melanda petang semalam.

ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebanyak 11 kampung dilaporkan terjejas dalam kejadian yang berlaku dalam tempoh 30 minit bermula kira-kira jam 3.45.

"Setakat ini sebanyak 11 kampung dengan 173 kediaman terjejas akibat kejadian ribut yang melanda petang semalam.

"Bagaimanapun, kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Wan Sukairi (tengah) melawat kediaman yang terjejas akibat kejadian ribut petang semalam. - Foto Facebook Wan Sukairi
Wan Sukairi (tengah) melawat kediaman yang terjejas akibat kejadian ribut petang semalam. - Foto Facebook Wan Sukairi

Wan Sukairi berkata, Kampung Kubang Tangga paling teruk terjejas apabila 55 rumah dilaporkan mengalami kerosakan diikuti Kampung Pulau Musang (29), Sungai Rengas (24), Padang Sena (20), Kuala Bedah (17), Padang Jerat (11), Kuala Bekah (7), Paloh Sungai Kiat (5), Pulau Rusa Hulu (4) dan Kampung Merbau Patah (1).

"Hari ini saya akan melawat lagi kampung-kampung yang terjejas untuk melihat sendiri keadaan kediaman yang rosak.

"Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga akan melawat semua rumah mangsa terlibat dan menilai kerosakan serta melihat keperluan mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain itu pihak berkenaan juga akan menghantar barangan keperluan untuk membaiki rumah mangsa.

"Kita juga akan melaporkan kepada pihak berwajib seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tabung Darul Iman dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu berhubung kejadian ini," katanya.

Antara kerosakan yang berlaku akibat kejadian ribut petang semalam. - Foto Facebook Wan Sukairi
Antara kerosakan yang berlaku akibat kejadian ribut petang semalam. - Foto Facebook Wan Sukairi