'Penyatuan terbesar dalam sejarah politik negara'

Nik Saiful Adli Burhan
Nik Saiful Adli Burhan
A
A
A

KOTA BHARU – Pemeteraian Piagam Muafakat Nasional dalam Himpunan Penyatuan Ummah 14 November akan membuatkan pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) terutama yang berbangsa Melayu tidak senang duduk.

Exco Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, memang wajar untuk mereka bimbang kerana sedar betapa besar impak penyatuan ini terhadap politik negara.

“Seharusnya mereka menyedari hakikat bahawa kemenangan PH dalam pilihan raya umum (PRU) lalu disebabkan perpecahan undi orang Melayu dalam dua parti terbesar, UMNO dan Pas.

“Saya teringat kata-kata cendekiawan barat 'politic is a game of numbers' bermaksud politik adalah sebuah permainan melibatkan nombor atau jumlah. Jika menilai analisis PRU lalu, dua parti ini mendapat 75 peratus undi kaum Melayu. Jumlah ini cukup kuat untuk mengejutkan PH daripada lena.

“Tidak hairanlah Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar boleh menggambarkan pemeteraian piagam antara UMNO dan Pas ini membuka mata rakyat tentang hipokrasi politik.

“Beliau yang telah meninggalkan perjuangan Pas, sebaliknya mengingatkan Pas mengenai perjuangan lalu menentang UMNO. Ini sudah cukup mengelirukan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurut Nik Saiful, Mahfuz sendiri mengakui belum mengetahui kandungan piagam antara Pas dan UMNO, maka tidak adillah untuk beliau mengeluarkan kenyataan sebelum meneliti terlebih dahulu.

Tambahnya, tindakan Mahfuz bagaikan ‘hilang arah’ dan amat takut untuk menghadapi realiti penyatuan parti politik Melayu terbesar dalam sejarah politik negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Ketakutan ini saya gambarkan sama seperti budak takutkan hantu. Belum lagi melihat hantu, sudah lari lintang-pukang.

“Di pihak kedua-dua parti sendiri telah bersedia menghadapi tohmahan, fitnah dan ancaman kesan daripada penyatuan ini. Kita percaya bahawa setiap perbuatan ke arah kebaikan, pasti mendapat cabaran yang hebat.

“Namun jika semata-mata dengan kata-kata sindiran dan kutukan sebegitu, saya nasihatkan mana-mana pihak terutama pemimpin PH, tak perlulah membuang masa. Tak akan runtuh bukit kerana disalak anjing,” katanya.