Ada pihak sanggup jadi 'penulis upahan' buat berita palsu: TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Pelancaran Program Awas Media Sosial dan Permainan Dalam Talian (AWASpada) Keselamatan Siber yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Cybersecurity Malaysia dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Pelancaran Program Awas Media Sosial dan Permainan Dalam Talian (AWASpada) Keselamatan Siber yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Cybersecurity Malaysia dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR- Sikap sesetengah individu yang sanggup menjadi penulis upahan untuk membuat berita palsu boleh menyebabkan masyarakat berada dalam keadaan kucar-kacir akibat penularan berita tidak benar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata hal itu tidak sepatutnya berlaku kerana kebebasan untuk menggunakan media sosial sepatutnya digunakan dengan penuh bertanggungjawab.

“Ada sesetengah pihak sanggup menjadi ‘penulis upahan’ malahan terdapat juga terma ‘fakery’, bukan tempat membuat roti ‘bakery’, tetapi tempat membuat berita palsu,” katanya ketika berucap pada Hari Produktiviti Bersama Komuniti dan Pelancaran Buku Panduan AWASpada (Awas Media Sosial dan Permainan Dalam Talian) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Tian Chua, Rektor UIA Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abd Razak, Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman dan Ketua Eksekutif Cybersecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

Dr Wan Azizah berkata, menyedari wujudnya ancaman dan jenayah siber yang kini semakin berleluasa, usaha perlu digembleng bagi meningkatkan kesedaran tentang penggunaan internet secara positif dan beretika.

Katanya, inisiatif yang diambil oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dengan melancarkan Buku Panduan AWASpada ini mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang penggunaan internet secara positif dan beretika.

Ia juga dapat memberi kefahaman kepada pengguna media sosial dan permainan dalam talian mengenai kesan negatif jika tidak digunakan secara bijaksana dan berhemah.

“Ia adalah satu usaha untuk menyedarkan masyarakat terutamanya golongan pelajar dan remaja bahawa kita perlu bersikap ‘awas’ terhadap penggunaan media sosial dan permainan dalam talian.

Artikel Berkaitan:

“Dengan mempunyai pemahaman yang betul mengenai tatacara melayari dan mengguna media sosial dan permainan dalam talian, saya percaya ia akan dapat membantu mengelakkan kita semua daripada melakukan jenayah siber atau menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.

Buku Panduan AWASpada adalah kerjasama antara MCPF, CyberSecurity Malaysia, UIA, MPC dan Persatuan Wadah Pencerdasan Ummat (WADAH).- Bernama