Ahli politik perlu tingkat penguasaan bahasa Melayu: Anwar

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menerima cenderahati daripada Pengarah Program Dr Shamsul Azhar sambil diperhatikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Johor Aminolhuda Hassan (kanan) pada Perasmian Seminar Negara Bangsa "Bahasa Melayu-Identiti Negara " di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat hari ini.- Foto Bernama
A
A

BATU PAHAT- Penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan wakil rakyat sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri perlu dipertingkatkan.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penguasaan bahasa kebangsaan itu boleh dipertingkatkan dalam urusan rasmi seperti surat-menyurat atau semasa persidangan.

Beliau berkata 'Bahasa Melayu' tidak seharusnya dijadikan isu kerana ia bahasa kebangsaan yang diguna pakai sejak negara merdeka.

"Saya tekankan setelah enam dekad sepatutnya soal bahasa kebangsaan tidak lagi jadi wacana, yang kita tekankan ialah mutu penguasaan bahasa.

"Pertamanya, dalam dasar program kerajaan, kita ingatkan orang politik, penjawat awam memastikan menggunakan bahasa yang baik.

“(Dan) kalau ini diselesaikan, maka senang selepas itu keperluan penguasaan bahasa lain seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Cina," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dalam Seminar Negara Bangsa - Siri 2 yang bertajuk "Bahasa Melayu - Identiti Negara” di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, di sini hari ini.

Beliau turut berkata usaha itu boleh dijayakan dengan mengadakan kursus-kursus melibatkan wakil rakyat dan penjawat awam.

Anwar dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Johor atas usaha memartabatkan bahasa kebangsaan menerusi seminar yang diadakan.

Yang turut hadir pada seminar itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia