CIMB nafi sistem IT digodam

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB) menafikan sebaran melalui aplikasi WhatsApp yang mengatakan sistem maklumat dan teknologi (IT) bank berkenaan digodam hari ini.

CIMB berkata, maklumat yang disebarkan itu tidak tepat dan keselamatan pengguna adalah terjamin.

“Maklumat yang disebarkan adalah tidak tepat. CIMB Clicks kami berada dalam keadaan terkawal dan beroperasi seperti biasa. Terima kasih,” kata CIMB ketika dihubungi menerusi mesej di Facebook rasminya hari ini.

Hari ini tular mesej mengatakan bahagian IT CIMB digodam dan meminta semua pengguna CIMB Clicks menutup data internet malam ini.

Mesej itu juga mendakwa bahawa pihak bank turut membuat sekatan internet dan kemasukan email.

Kelmarin, CIMB menjelaskan bahawa ia mengesan beberapa perilaku mencurigakan terhadap sistem IT dan telah mengambil tindakan terhadap perkara itu.

CIMB dalam satu kenyataan berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, ia telah menggantung dengan serta merta sistem tertentu yang melibatkan beberapa aspek perniagaan bank itu terutamanya fungsi-fungsi dalaman.

“Kami ingin menegaskan bahawa sistem perbankan teras dan data pelanggan kami tidak terjejas dan pelanggan kami dapat melaksanakan urus niaga perbankan mereka seperti biasa termasuk menerusi CIMB Clicks, BizChannel@CIMB dan Terminal Layan Diri termasuk mesin teler automatik (ATM) dan mesin deposit tunai,” kata bank itu.

Artikel Berkaitan:

CIMB juga berkata, ia akan terus mengambil langkah yang perlu untuk memastikan persekitaran perbankan yang selamat bagi pelanggannya.