Macau Scam: Pekerja kilang kerugian RM4,510

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja kilang di Brincang, Cameron Highlands mengalami kerugian sebanyak RM4,510 akibat diperdaya sindiket Macau Scam semalam.

Ketua Jabatan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 31 tahun pada awalnya dihubungi individu mendakwa dari Mahkamah Terengganu yang mengatakan mangsa mempunyai tunggakan hutang kad kredit.

Menurutnya, talian telefon mangsa seterusnya disambungkan kepada Inspektor Kumar yang kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

"Selepas dihubungi Inspektor Kumar, talian mangsa dihubungkan kepada kononnya pihak kewangan Maybank untuk menyelesaikan masalah tunggakan.

"Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa hanya mengikut sahaja arahan diberikan dengan menyerahkan 16 digit nombor kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya, nombor pin dan kemudiannya nombor kod pengesahan transkasi (TAC)," katanya hari ini.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila mendapati berlakunya transaksi menerusi akaun Maybank miliknya.

"Mangsa menerima mesej menyatakan sebanyak RM4,510 wang dalam akaunnya dipindahkan ke akaun di atas nama Muhammad Firdaus.

"Mangsa menghubungi pihak Maybank yang memberitahu panggilan diterima adalah palsu dan satu laporan polis telah dibuat.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.