Man Kidal impi konsert peribadi di Istana Budaya

Man Kidal (Gambar fail)
A
A

PETALING JAYA - Petikan gitar seorang legenda ini sering kali membuat orang ramai terpaku tatkala menonton persembahannya di atas pentas mahupun kaca televisyen.

Setelah empat dekad memetik gitar menerusi tangan kirinya bersama kumpulan Lefthanded yang popular dengan lagu seperti ‘Tiada Lagi Kidungmu’, ‘Ku Di Halaman Rindu’, ‘Seruan’ dan ‘Debunga Wangi’, nama Man Kidal terus meniti di bibir pencinta muzik tempatan.

Walaupun mengecap pelbagai kejayaan bersama kumpulan Lefthanded mahupun peribadi, Man Kidal atau nama sebenarnya Rahman Mahmood, 55, masih belum puas menghiburkan para peminatnya.

Lantaran itu, dia mengimpikan sebuah konsert peribadi yang disifatkannya akan menjadi pelengkap dalam kembaranya sebagai seorang pemuzik.

“Saya sangat impikannya (konsert peribadi) namun ia bukan mudah kerana kos untuk melaksanakannya sangat tinggi tetapi saya percaya masanya akan tiba nanti,” katanya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, anak jati Skudai, Johor itu berharap dapat menampilkan barisan penyanyi hebat seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Ella, Ruth Sahanaya, kumpulan D’ Masiv selain pemuzik antaranya Hillary Search, Joe Wings, Sham Kamikaze dan Rody Kristal dalam konsertnya.

Ditanya mengenai lokasi konsert, Man Kidal yang pernah menganggotai kumpulan Search memilih Istana Budaya kerana ia merupakan tempat yang berprestij untuk melakukan persembahan.

“Saya sudah banyak kali melakukan persembahan di Istana Budaya jadi saya sudah tahu keadaan tempatnya seperti susunan pentas dan sebagainya.

“Lokasinya juga dapat memberikan keselesaan kepada penonton dan ini akan membolehkan mereka untuk lebih menghayati konsert saya nanti,” kata datuk kepada sembilan cucu itu.

Sehubungan itu, beliau mengajak pihak yang berminat untuk duduk berbincang dan bekerjasama merealisasikan impiannya menjayakan konsert itu nanti.

Sementara itu, Man Kidal mengakui aksi memukaunya yang memainkan lagu Negaraku di hadapan lebih 80,000 penonton sebelum sepak mula perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Julai lalu adalah pengalaman paling berharganya sepanjang bergelar insan seni.

“Walaupun saya sudah memainkan beribu lagu, namun peluang memainkan lagu Negaraku sangat mencabar kerana saya membuat persembahan di depan kerabat diraja selain ribuan penonton di dalam stadium.

“Saya tidak sangka dapat peluang memainkan lagu Negaraku dengan gitar saya sendiri dan ia pengalaman tidak boleh dilupakan dalam hidup,” katanya.

Mengenai perkembangan terbaharu, beliau ketika ini sedang sibuk membuat persiapan bagi menjayakan konsert reunion Lefthanded yang diadakan Disember ini di beberapa lokasi di dalam negara.

Selain itu, Man Kidal juga memberitahu bakal menjalani penggambaran filem mengenai kisah hidup kumpulan Lefthanded hujung tahun ini yang dijadual ditayangkan di platform penstriman digital dalam talian tahun hadapan. - Bernama