X

Kindly register in order to view this article
!

Penggunaan lambang, simbol berkaitan Islam kelirukan masyarakat

Noridzuan
A
A

KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) membuat pemantauan berkala bagi memastikan tiada premis bukan Islam yang menggunakan lambang atau simbol berkaitan Islam semata-mata untuk mengelirukan pengguna.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIP, Noridzuan Abd Manan berkata, JAIP mempunyai unit khas untuk memantau kes berkaitan tanda halal dan penyalahgunaan simbol atau lambang Islam di premis bukan Muslim.

Menurutnya, pemantauan dan Pemeriksaan juga dilakukan dari semasa ke semasa kerana isu berkenaan tidak boleh dipandang remeh.

"Apa saja mewakili mengenai isu halal memang kita buat pemantauan. Memang ada kes melibatkan premis bukan Islam yang menggunakan lambang berkaitan Islam.

"Biasanya membabitkan kes penggunaan ayat-ayat al-Quran, simbol bulan bintang dan pelbagai lagi yang boleh mengaitkannya dengan agama Islam," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, jika kesalahan tersebut dikesan, pendekatan berhemah dan nasihat terlebih dahulu diberikan.

"Setakat ini tiada lagi premis yang ingkar jika kita arah turunkan kain renang, keluarkan iklan atau sebagainya. Rata-rata akur dan tidak mengulangi kesalahan sama.

"Kes sebegini kita siasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Jika individu lakukan kesalahan berulang dan ingkar, mereka boleh dipenjara serta didenda. Begitu juga dengan perbadanan boleh dikenakan denda sehingga RM10 juta," katanya.

Noridzuan berkata, langkah tersebut diambil mengelak unsur-unsur mengelirukan dan memberi tanggapan halal kepada premis yang tidak sewajarnya.

"Kes sebegini boleh mengelirukan seolah-olah membawa maksud premis adalah milik orang Islam dan menyediakan makanan halal," katanya.