Pengusaha produk Bumiputera disaran dapatkan sijil halal

Mujahid berucap pada Majlis Perasmian Halfest Jakim 2019 di Pusat Pameran MINES, Kuala Lumpur. - FOTO ZAHID IZZANI
Mujahid berucap pada Majlis Perasmian Halfest Jakim 2019 di Pusat Pameran MINES, Kuala Lumpur. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Pengusaha produk Bumiputera di Malaysia digesa mendapatkan pensijilan halal Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) sekiranya mahu mengembangkan lagi pasaran produk ke peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, dengan adanya pengesahan itu ia secara tidak langsung akan membuka ruang yang lebih besar kepada pengusaha produk, khususnya Muslim.

"Saya menekankan dan menggesa produk serta barangan yang dikeluarkan pengusaha Muslim tempatan mendapatkan sijil halal ini.

"Tahap piawaian dan standard pematuhan syariah halal di Malaysia telah melangkah jauh ke peringkat antarabangsa dan diperakui kepakaran serta pengalamannya.

"Jadi, bagi memastikan produk yang dikeluarkan Bumiputera dapat bersaing dengan produk-produk ternama lain, mereka harus mendapatkan sijil halal Jakim," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Halal Fest Jakim di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, konsep halal tidak hanya terpakai bagi produk makanan dan minuman tetapi termasuk juga penjagaan kesihatan, farmaseutikal, logistik dan sebagainya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mujahid turut menyatakan sokongan terhadap keputusan Kabinet yang menyeru kepada kempen beli barangan buatan Malaysia.

"Kempen ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan ekonomi tetapi turut memberi kebaikan kepada negara," katanya.

Artikel Berkaitan: