'Be-Halal' pacu industri halal

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan Program Pembangunan Strategik Industri Halal atau dikenali sebagai ‘be-Halal’, yang merupakan satu inisiatif baharu di bawah Sekretariat Majlis Halal Negara, khusus bagi memacu pertumbuhan industri halal negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, buat permulaan 50 pemain industri halal akan dipilih oleh sekretariat bagi menyertai program berkenaan.

Beliau berkata, be-Halal merupakan inisiatif bagi memacu pertumbuhan industri halal melalui program pembangunan holistik terhadap pemain-pemain industri halal, dengan menggunakan pameran HALFEST anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 2019 sebagai platformnya.

“Ini adalah agar mereka mampu bersaing secara produktif dan inovatif dalam mendepani pelbagai cabaran global, baik dalam industri halal mahupun dunia perdagangan yang penuh mencabar,” katanya ketika merasmikan HALFEST JAKIM 2019 di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan dekat sini.

HALFEST JAKIM 2019 merupakan usahasama JAKIM dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam mengetengahkan usahawan dari golongan asnaf serta mempromosi budaya halal bukan sahaja kepada usahawan dan pengguna Islam, tetapi juga bukan Islam dengan memberikan pendedahan yang lebih terperinci mengenai produk dan perkhidmatan yang dipersijilkan halal.

Wan Azizah berkata, para peserta ‘be-Halal’ akan dibangunkan melalui program yang dikendalikan oleh pakar daripada pelbagai latar belakang untuk menyumbang kepada peningkatan industri halal negara.

“Menjadi salah satu impian dan cita-cita saya apabila menerajui Majlis Halal Negara ini untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti industri halal negara ke peringkat yang lebih berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Azizah berharap untuk melihat lebih ramai asnaf terlibat dalam HALFEST pada tahun-tahun akan datang dibantu oleh syarikat-syarikat yang mengeluarkan zakat.

Artikel Berkaitan:

HALFEST JAKIM juga perlu memikirkan mekanisme dan pembaharuan setiap tahun untuk membentuk pengisian program yang benar-benar memberi impak kepada usahawan, industri, pengguna dan juga negara, katanya.

“Saya tidak mahu HALFEST JAKIM sekadar menjadi program tahunan yang berpaksikan ekspo, riuh tetapi tanpa roh yang teguh di sebalik penganjuran.

“Perlu ada peningkatan daripada aspek-aspek seperti nilai jualan, jumlah peserta, jumlah pengunjung, dan jumlah usahawan yang berjaya menembusi pasaran baharu,” katanya.- Bernama