Ribuan ikan mati akibat kurang oksigen

Ribuan ikan ditemui mati dan terapung di tali air berhampiran Hospital Sultanah Aminah.
Ribuan ikan ditemui mati dan terapung di tali air berhampiran Hospital Sultanah Aminah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ribuan ikan ditemui mati dan terapung di tali air berhampiran Hospital Sultanah Aminah (HSA) disyaki akibat paras oksigen terlarut terlalu rendah dalam air.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, kejadian ini merupakan kes kedua selepas kejadian di Pantai Lido, bulan lepas.

"Berdasarkan tinjauan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan daerah Johor Bahru di lokasi mendapati bacaan in-situ mencatatkan paras oksigen terlarut terlalu rendah iaitu 1.22 ppm hingga menyebabkan kematian tersebut.

"Saya memandang serius aduan ini dan sebagai rekod, penemuan ini yang kedua selepas kejadian serupa di Pantai Lido pada 28 Ogos lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tali air berhampiran Hospital Sultanah Aminah.
Tali air berhampiran Hospital Sultanah Aminah.

Sebelum ini pemilik akaun Facebook Community Roda Johor memuat naik beberapa keping gambar dan video yang menunjukkan longgokan ikan terapung dan menurut keterangan yang dikongsi keadaan di situ berbau busuk.

Dalam pada itu, Chen Choon berkata, pihaknya percaya kematian ikan-ikan tersebut berpunca daripada faktor cuaca dan gangguan sistem pengaliran.

Artikel Berkaitan:

"Merujuk kepada dapatan awal, disimpulkan kematian ikan disebabkan faktor cuaca dan gangguan sistem pengaliran yang berkemungkinan berpunca daripada aktiviti penambakan di perairan berkenaan.

"Dapatan awal ini tidak menemukan sebarang sumber industri yang boleh dikaitkan sebagai punca kejadian," katanya.

Beliau juga telah mengarahkan pihak JAS menyemak semula Laporan Penilaian Impak Persekitaran (EIA) projek penambakan itu bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut dan mencari penyelesaian bagi mengawal insiden sedemikian daripada berlanjutan.