Gandingan V Shem, Wei Chong pacu Petaling BC

V Shem, Wei Chong beraksi mantap untuk menang mudah 3-0 (11-2, 11-6, 11-7) menewaskan Yue Chern, Fong Hau.
V Shem, Wei Chong beraksi mantap untuk menang mudah 3-0 (11-2, 11-6, 11-7) menewaskan Yue Chern, Fong Hau.
A
A
A

KELAB Badminton (BC) Petaling terus garang dalam saingan SS Purple League (SSPL) musim ini apabila mengatasi Bukit Mertajam All Stars BC (BMASBC) 13-7 di Gem In Mall tadi, untuk melonjak ke tangga pertama liga dengan 45 mata.

Penampilan pertama pemain kebangsaan, Goh V Shem turut menjadi kunci kemenangan kem Petaling BC setelah gandingan mantapnya bersama Man Wei Chong menghadirkan mata kemenangan buat pasukan itu.

Goh V Shem berkata, “Biarpun turun kali pertama musim ini, saya gembira berpasangan dengan Man Wei Chong untuk membantu Petaling BC mendapat mata kemenangan tadi. Kami berjaya mengelak untuk melakukan kesilapan mudah ketika bermain dan ia menyukarkan lawan kami.”

“Petaling BC musim ini semakin kuat dengan kemasukan beberapa pemain ternama di tambah dengan pemain junior yang kini semakin mantap. Jadi mengharapkan Petaling BC akan mendapat keputusan yang lebih baik dalam saingan SSPL musim ini,” kata V Shem.

Dalam acara perseorangan lelaki, Chong Yee Han berjaya merakamkan kemenangan untuk meletakkan Petaling BC mendahului setelah dia mengatasi wakil BMASBC, Riyanto Subagja 3-1 (8-11, 11-7, 11-7, 1-6).

Pungutan mata kemenangan Petaling BC bertambah selepas mereka terus menguasai acara perseorangan wanita. Kali ini, Yulia Yosephine Susanto menang 3-1 (9-11, 11-9, 11-7, 11-10) ke atas Lim Jing Ning untuk menjarakkan kedudukan menjadi 6-2.

Goh V Shem yang bergandingan dengan Man Wei Chong dalam acara beregu lelaki menambah lagi mata buat Petaling BC apabila menang mudah 3-0 (11-2, 11-6, 11-7) menewaskan pemain BMASBC, Chua Yue Chern- Sim Fong Hau.

BMASBC berjaya bangkit meraih mata dalam acara beregu campuran apabila pasangan Agrippina Prima Rahmanto- Jin Yujia mengejutkan pasangan Petaling BC, Terry Hee Yong Kai- Lai Pei Jing 3-1 (8-11 11-9 11-10 11-10) merapatkan kutipan mata keseluruhan kepada 10-5.

Artikel Berkaitan:

Cheam June Wei yang turun dalam satu lagi aksi perseorangan lelaki terus melebarkan jurang mata buat Petaling BC apabila dia menang 3-2 (7-11, 11-8, 2-11, 11-5, 11-9) ke atas wakil BMASBC dari Perancis, Lucas Corvee.