Lelaki kurang minat jadi guru tadika

Dr Md Farid (empat, kiri berdiri) bersama pemimpin setempat beramah mesra dengan murid-murid tabika perpaduan.
Dr Md Farid (empat, kiri berdiri) bersama pemimpin setempat beramah mesra dengan murid-murid tabika perpaduan.
A
A
A

PASIR MAS - Golongan lelaki di negara ini kurang berminat untuk menabur bakti sebagai guru tadika bagi mengendalikan pendidikan awal kanak-kanak bermula usia empat hingga enam tahun.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik berkata, situasi itu dapat dilihat apabila wanita lebih mendominasi permohonan jawatan sebagai guru setiap kali dibuka berbanding lelaki.

“Dominasi golongan wanita ini berkemungkinan besar disebabkan kebolehan mereka mengendalikan dan berinteraksi dengan kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Rukun Tetangga (PRT) Meranti, di sini hari ini.

Dr Md Farid (dua, kiri) bersama Ahmad Fadhli (kiri) semasa perasmian Pusat Rukun Tetangga (PRT) Meranti.
Dr Md Farid (dua, kiri) bersama Ahmad Fadhli (kiri) semasa perasmian Pusat Rukun Tetangga (PRT) Meranti.

Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri, Norwahidah Zinalibdin.

Menurutnya, kerajaan tidak ada halangan jikalau ada lelaki yang berminat untuk menggalas tanggungjawab itu.

Dalam perkembangan lain, Dr Md Farid berkata, sebanyak RM14 juta permohonan tambahan telah dipohon bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan di tabika perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bajet tambahan itu telah dipohon pada tahun ini bagi memastikan kerja-kerja naik taraf dapat dijalankan dengan cepat.

“Kemudahan selamat dan selesa itu kita amat titik beratkan supaya anak-anak ini dapat menikmati pembelajaran dalam suasana terbaik,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional mempunyai 1,781 tabika di bawah seliaan agensi berkenaan di seluruh Malaysia.