Balu Mejar Zahir rancang mulakan hidup baru di Ipoh

Nour Shafinar bersama tiga anaknya akan berpindah ke Ipoh untuk mulakan hidup baru sama seperti hasrat terakhir Allahyarham.
Nour Shafinar bersama tiga anaknya akan berpindah ke Ipoh untuk mulakan hidup baru sama seperti hasrat terakhir Allahyarham.
A
A
A

IPOH - Isteri Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun, 31, bakal membawa anak-anaknya memulakan hidup baharu di Ipoh.

Menurutnya, perkara itu juga merupakan hasrat Allahyarham sendiri yang mahu mereka sekeluarga menetap dan membina kehidupan di Perak.

"Hal ini sebenarnya dah lama kami bincangkan, cuma ketika itu belum ada ketetapan sama ada nak terus tinggal di Kuala Lumpur atau Perak iaitu kampung halaman saya.

"Tetapi entah mengapa, sehari sebelum arwah ke Sabah, dia maklumkan kepada saya yang mahu kami berpindah ke Perak.

"Arwah minta kalau boleh carilah rumah di sekitar Ipoh supaya mudah jika ada apa-apa berlaku, saya dekat dengan keluarga dan ibu bapa," katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta hari ini.

Beliau berkata, sehari sebelum kejadian yang meragut nyawa suaminya itu, dia sudah mendapat rumah sewa di Ipoh.

Nour Shafinar menunjukkan mesej-mesej terakhirnya bersama Allahyarham Mohd Zahir.
Nour Shafinar menunjukkan mesej-mesej terakhirnya bersama Allahyarham Mohd Zahir.

"Malam itu kami sempat bervideo call, kebetulan saya dalam keadaan penat kerana baru pulang dari Ipoh, jadinya dia banyak berinteraksi dengan anak bongsunya," katanya sebak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mengikut perancangan asal, dia dan tiga anaknya, Muhammad Irfan Daniel, 10, Nur Adriana, 6, dan Izzul Zakly berusia 6 bulan, berpindah ke Ipoh pada November nanti sementara arwah akan memohon bertukar tempat kerja.

"Tetapi ketentuan tuhan tiada siapa yang tahu, buat masa ini saya perlu uruskan beberapa perkara berkaitan arwah dan daftar sekolah anak-anak, bila semua urusan selesai, kami akan berpindah dan mulakan hidup baru di sini, sama seperti yang diminta arwah," katanya.

Mohd Zahir yang merupakan Pegawai Komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada jam 9.28 pagi kelmarin selepas terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah.

Jenazah selamat dikebumikan dengan penuh adat istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, semalam.

Nour Shafinar yang menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera di 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja, Jun lalu berhasrat untuk meneruskan minat Allahyarham dalam perniagaan.

Katanya, selain tugas ketenteraan, Allahyarham juga sebenarnya mahir dalam mereka bentuk baju yang digunakan anggota dalam program dan misi-misi khas menerusi label Zeck's Empire yang diusahakan bersama sejak dua tahun lalu.

"Saya sendiri pun akan teruskan perniagaan perancang perkahwinan saya, buat masa ini mungkin akan mulakan secara kecil-kecilan dulu seperti buai berendoi dan mini pelamin," katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang yang pernah berkhidmat dalam pasukan tentera, dia memahami risiko keselamatan yang dihadapi sama ada ketika latihan atau bertugas.

"Saya juga seorang penembak dan memang selalu bermain dengan peluru hidup, saya juga kenal rapat dengan kawan-kawan arwah ketika demonstrasi itu.

"Jadi saya minta semua pihak tidak membuat spekulasi atau andaian mengenai kejadian itu, saya serahkan sepenuhnya kepada siasatan pihak berkuasa," katanya.