Persatuan sukan usah cetus ketegangan: Exco Perak

Howard Lee
Howard Lee
A
A
A

IPOH - Semua persatuan di negeri ini dinasihatkan agar berhati-hati menggunakan media sosial agar tidak mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee berkata, sukan berperanan menyatukan masyarakat yang harus disambut oleh persatuan-persatuan sukan.

Beliau berkata, tidak wajar untuk mana-mana persatuan sukan khususnya di negeri ini mencetuskan suasana memecahbelahkan masyarakat.

"Selaku kelab, persatuan atau penggiat sukan, sukan adalah sesuatu yang menyatukan kita atau sepatutnya menyatukan kita, tetapi apabila ada hujah, kenyataan atau kecaman tidak berasas nampak berniat fitnah, ini adalah melanggar sikap dan semangat kesukanan.

"Perkara seperti ini saya perlu memahami secara mendalam apakah yang telah menyebabkan timbulnya keadaan tersebut," katanya kepada pemberita sebagai mengulas tindakan sebuah kelab memanah di negeri ini mengeluarkan hantaran fitnah di dalam Facebook terhadap pasar raya Econsave, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Semalam, dalam kenyataannya, Howard berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kelab Memanah Seri Iskandar yang mengeluarkan kenyataan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Exco Perak kesal Econsave difitnah tak jual produk Muslim

Mengulas mengenai pertemuan yang diadakan itu, Howard berkata, sesi libat urus akan diadakan bersama kelab tersebut bagi membincangkan kenyataan disifatkan fitnah yang dikeluarkan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain itu juga, pertemuan berkenaan akan turut menyelami dan mendalami perasaan di sebalik kenyataan yang dikeluarkan itu.

Sementara itu, pada Isnin lalu Kelab Memanah Seri Iskandar memuat naik kenyataan permohonan maaf di laman sosial Facebook milik mereka bagi menarik balik kenyataan yang dimuat naik di Facebook sama 25 Ogos lalu.

Kenyataan berkenaan memaklumkan kelab tersebut mengaku membuat kesilapan dan telah menyampaikan maklumat tidak benar kepada orang awam khasnya penduduk Seri Iskandar, Perak.

Permohonan maaf tersebut dibuat selepas Econsave melalui Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam membuat laporan polis berhubung fitnah tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara 2, Isnin lalu.