Jerebu: Malaysia akan hantar nota diplomatik kepada Indonesia

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada Indonesia supaya tindakan segera diambil kerajaan negara jiran berkenaan bagi memadam kebakaran hutan di republik itu yang mengakibatkan jerebu dan kembali mencemarkan kualiti udara di negara ini, sejak semalam.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis berkata draf nota diplomatik berkenaan sedang disiapkan dan akan dihantar secepat mungkin.

Bercakap kepada sidang media di sini, hari ini, beliau berkata setakat 8 pagi tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan 61 stesen mencatatkan status kualiti udara tahap sederhana.

"Enam lagi stesen, kesemuanya di Sarawak mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat iaitu di Sri Aman yang mencatat IPU 166, Miri (133), Kuching (125), Sibu (123), Samarahan (120) dan Sarikei 109,” katanya.

Semalam, hanya tiga stesen mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu di Sri Aman yang mencatat IPU 122 diikuti Samarahan 105 dan Miri 101.

Isnaraissah berkata berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) semalam, imej satelit Pusat Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara (NOAA) 20 mengesan sejumlah 1,393 titik panas di Indonesia dengan 306 di Sumatera dan 1,087 di Kalimantan dan hanya 17 dikesan dalam negara.

"Siasatan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan ke atas titik-titik panas yang dikenal pasti dalam negara. Bagaimanapun, jerebu merentas sempadan adalah punca utama jerebu di seluruh negara,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Pinang dilanda jerebu

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada kerajaan Indonesia ada memohon bantuan dari Malaysia untuk memadam kebakaran, beliau berkata setakat ini pada pengetahuannya belum ada.

Mengenai langkah mengadakan pembenihan awan bagi mengurangkan jerebu dalam negara, katanya ia bergantung kepada input daripada Jabatan Meteorologi dan Agensi Pengurusan Bencana Negara serta kesesuaian awan.

Katanya buat masa ini, kerajaan telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan jerebu.

Beliau turut mengingatkan agar pembakaran terbuka tidak dilakukan orang ramai bagi mengelak ia memburukkan lagi keadaan kualiti udara, memandangkan cuaca panas dan kering yang dialami negara sekarang dijangka berlanjutan sehingga Oktober. - Bernama