Warden penjara maut jatuh Jambatan Pulau Pinang

Anggota polis membuat pemeriksaan di lokasi mayat ditemukan.
Anggota polis membuat pemeriksaan di lokasi mayat ditemukan.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang warden penjara ditemui mati dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.35 malam, anggota berpangkat sarjan itu ditemui dalam keadaan tertiarap di celah batu dan cedera parah pada kaki sebelah kanan, siku kiri, dahi sebelah kanan dan bahagian belakang badan.

Difahamkan lelaki berkenaan yang berusia 54 tahun menghentikan keretanya di Kilometer 5.4 dari arah tanah besar menghala ke pulau sebelum dia dilaporkan terjatuh.

Ketua Polis Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Jambatan Pulau Pinang menemui kereta milik lelaki berkenaan yang diletakkan di tepi jalan.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan turut menemukan sekeping nota yang tercatat alamat rumah dan nombor telefon yang diletakkan di papan pemuka kereta berkenaan.

"Lelaki berkenaan merupakan sarjan penjara, sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak yang tinggal di Bandar Seri Astana, Sungai Petani.

"Lelaki berkenaan juga dikatakan sedang cuti sakit selepas dia dikatakan mengalami gastrik dan sukar tidur malam sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini.

Che Zaimani berkata, mayat dibawa ke Jeti Polis Marin Batu sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel Berkaitan: