Projek ekonomi KRT tingkat taraf hidup penduduk

Md Farid (dua dari kiri) dan Sazmi (kiri) berkongsi idea bersama peserta projek ekonomi ternakan ikan patin di KRT Pauh Lima, Pulai Chondong, di sini semalam.
Md Farid (dua dari kiri) dan Sazmi (kiri) berkongsi idea bersama peserta projek ekonomi ternakan ikan patin di KRT Pauh Lima, Pulai Chondong, di sini semalam.
A
A
A

MACHANG - Projek ekonomi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bukan sahaja meningkatkan pendapatan ahli tetapi mampu menjadi titik mula bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata, setiap KRT mempunyai keunikan yang tersendiri dan ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha menjana ekonomi penduduk.

Katanya, pihaknya sentiasa membuka ruang dan mengalakkan KRT mengusahakan projek ekonomi yang mampu meningkatkan pendapatan mengikut kesesuaian dan kebolehan penduduk setempat.

"KRT tidak hanya tertakluk kepada aktiviti kemasyarakatan sahaja, tetapi merangkumi pelbagai bidang termasuk aktiviti ekonomi. Manfaatkan kebolehan dan kelebihan yang ada di tempat masing-masing dalam bentuk ekonomi yang mana mampu membantu masyarakat setempat meningkatkan pendapatan.

"KRT adalah platform terbaik yang mana melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan fahaman ideologi politik. Projek ekonomi seperti ini juga mampu mengeratkan silaturrahim dan semangat kerjasama di kalangan masyarakat," katanya selepas melawat projek ekonomi ternakan ikan patin di KRT Pauh Lima, Pulai Chondong, di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kelantan, Norwahidah Zinalibdin dan Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Sazmi Miah.

Pada program tersebut, Md Farid turut meluangkan masa bertemu ahli KRT Pauh Lima pada Program Sembang Santai Bersama Komuniti di Kampung Bukit, di sini.

Projek ternakan ikan Agro Ikhwah Berdikari tersebut dimulakan pada Mac lalu dengan melibatkan seramai 25 peserta yang terdiri daripada ahli KRT Pauh Lima.

Artikel Berkaitan:

Md Farid berkata, melalui program turun padang tersebut pihaknya mengenal pasti masalah dan mendengar saranan-saranan masyarakat dalam usaha meperkasakan peranan KRT.

Katanya, sehingga kini terdapat 8,200 KRT di seluruh negara dan pihaknya mengalu-alukan lebih banyak KRT baharu ditubuhkan pada masa akan datang.