Sorotan 2018: BN kali pertama kalah dalam PRU

A
A
A

TAHUN 2018 menyaksikan perubahan landskap politik negara apabila buat pertama kali selepas lebih enam dekad mentadbir negara, BN gagal mengekalkan kuasa mereka.

PH harapan menerusi konsesus telah melantik Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.

Peralihan kuasa ini memperlihatkan warna-warni politik dengan beberapa parti komponen BN seperti Gerakan meninggalkan gabungan itu dan kemelut kepimpinan dalam parti terbesar orang Melayu iaitu Umno.

Tidak kurang juga beberapa pemimpin kanan Umno bertindak keluar parti menjadi Ahli Parlimen Bebas serta dan ada di kalangan mereka menyertai parti kerajaan.

Ikuti beberapa sorotan kes melibatkan politik tanah air negara sepanjang tahun ini yang disediakan NURULFATIHA MUAH dan MOHD HAFIZ ISMAIL.

28 Mac 2018

KUALA LUMPUR

USUL persempadanan semula kawasan pilihan raya Persekutuan dan negeri diluluskan dalam Dewan Rakyat hari ini.

Artikel Berkaitan:

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan usul yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu diluluskan dengan majoriti 129 ahli Parlimen menyokong, manakala hanya 80 tidak bersetuju.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan perubahan nama pada 12 kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dun di Tanah Melayu.

Usul itu juga mengesyorkan tiada perubahan bilangan kerusi Parlimen dan Dun di Tanah Melayu, menjadikan bilangan kerusi Parlimen PRU14 kekal 222 kerusi dan Dun pula keseluruhannya kekal 587 kerusi.

6 April 2018

PUTRAJAYA

TEKA-teki pembubaran Parlimen akhirnya terjawab hari ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu yang berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada PRU14.

No Image Caption

Beliau membuat pengumuman itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Pengumuman kali ini sedikit berbeza berbanding pembubaran Parlimen sebelum ini kerana berkuat kuasa sehari selepas pengumuman pembubaran dibuat.

6 April 2018

JOHOR BAHRU

PH akan menggunakan logo dan simbol PKR untuk bertanding pada PRU14.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dalam program Jelajah Harapan di Pasir Gudang, malam ini.

No Image Caption

Katanya, bukan mudah untuk parti yang bergabung dalam PH menggunakan lambang masing-masing bagi menggantikannya dengan logi PKR semasa PRU14, namun disebabkan ingin bersatu-padu, Amanah, PKR, DAP dan Bersatu akan guna satu simbol.

9 Mei 2018

KUALA LUMPUR

PRU14 berlangsung dengan aman tanpa kejadian yang tidak diingini.

Pilihan raya kali ini memperlihatkan fokus diberi kepada parti BN, PH dan Pas.

10 Mei 2018

PUTRAJAYA

KEPUTUSAN PRU14 menyaksikan sejarah baharu terlakar apabila PH berjaya memperoleh majoriti mudah melalui kemenangan di 113 kerusi Parlimen.

Ia sekaligus membolehkan gabungan parti itu menerajui mandat pemerintahan negara buat pertama kali selepas 60 tahun diperintah BN.

Manakala hasrat BN untuk mengekalkan pentadbiran negara tidak kesampaian apabila hanya mampu menang di 79 kerusi Parlimen.

12 Mei 2018

KUALA LUMPUR

DATUK Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN berkuat kuasa serta-merta.

No Image Caption

Ia diumumkan selepas mesyuarat Biro Politik Umno.

Susulan itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas presiden parti, manakala seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula menjalankan tugas timbalan presiden.

12 Jun 2018

KUCHING

PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan tiga lagi parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) meninggalkan BN, sekali gus membentuk pakatan baharu dinamakan Gabungan Parti Sarawak.

No Image Caption

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Abang Openg berkata, keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan dan membuat penilaian perkembangan politik semasa dalam negara selepas PRU14.

Katanya, GPS akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan negara dan hak negeri serta kepentingan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia.

23 Jun 2018

KUALA LUMPUR

PARTI Gerakan mengumumkan keluar BN untuk menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif.

No Image Caption

Dalam satu kenyataan, Gerakan berkata, keputusan sebulat suara itu dicapai hasil mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan (CGC) selepas melakukan perbincangan, penelitian dan pertimbangan menyeluruh serta serius terhadap perkembangan politik semasa negara pasca PRU14.

Katanya, keputusan itu juga selaras dengan aspirasi, keperluan dan permintaan baharu oleh rakyat pasca PRU14, selain memutuskan Gerakan harus melakarkan hala tuju baharu untuk terus kekal dalam perjuangan.

28 Jun 2018

PUTRAJAYA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun Umno termasuk Umno Pusat dan beberapa negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

30 Jun 2018

KUALA LUMPUR

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus mendapat kepercayaan dan keyakinan ahli Umno apabila beliau dipilih sebagai Presiden parti baharu bagi tempoh 2018-2021.

Beliau menewaskan empat pesaing lain antaranya bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Kemenangan Ahmad Zahid begitu signifikan pada pemilihan yang dianggap sebagai ibu segala demokrasi selepas BN kalah dalam PRU14.

14 Julai 2018

KUALA LUMPUR

BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menolak pelantikan sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Keputusan itu diambil beliau kerana mahu menghindari persepsi buruk terhadapnya.

Mohamed Apandi berkata, beliau sudah memaklumkan keputusan itu kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jam 9.20 malam tadi.

14 Julai 2018

PONTIAN

AMANAH memperoleh kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menangguhkan pemilihan parti itu ke tahun depan.

Timbalan Presidennya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Amanah membuat permohonan bagi menunda proses pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung tahun ini ekoran PRU14.

Namun, mesyuarat pada peringkat cawangan akan berjalan seperti biasa tanpa pemilihan.

14 Julai 2018

KUALA LUMPUR

TAN Sri A Vigneswaran dipilih sebagai Presiden MCA baharu bagi penggal 2018-2021 selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Presiden, Datuk R Gobalakrishnan selepas bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu tidak dicabar mana-mana pihak apabila proses pencalonan ditutup jam 12 tengah hari tadi.

Vigneswaran menerima sokongan daripada 3,616 cawangan MIC di seluruh negara yang terdiri daripada 4,300 cawangan.

27 Julai 2018

KUALA LUMPUR

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat Umno.

Selain itu, sembilan majlis turut ditubuhkan bagi menjalankan beberapa tanggungjawab untuk memperkasa dan menyemarakkan Umno sebagai parti politik utama tanah air.

2 Ogos 2018

SHAH ALAM

TIGA PRK yang berlangsung selepas PRU14 iaitu melibatkan Dun Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia memperlihatkan PH berjaya mempertahankan kerusi mereka.

Calon Pakatan PH, Zawawi Ahmad Mughni menewaskan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam di Sungai Kandis dalam PRK yang berlangsung pada 2 Ogos lalu.

Manakala Dun Balakong dan Seri Setia pula pada 8 September yang memperlihatkan PH menang dengan majoriti besar.

18 September 2018

KUALA LUMPUR

AHLI Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar daripada Umno selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas merasakan hala tuju Umno kini tidak selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.

Katanya, Umno ketika ini tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula.

19 September 2018

SHAH ALAM

BEKAS Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan dirinya keluar Umno, kurang 24 jam selepas tindakan serupa dibuat Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, keputusan meninggalkan parti yang disertainya sejak lebih 25 tahun tersebut berkuat kuasa serta-merta.

30 September 2018

KUALA LUMPUR

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan undang-undang sudah dimulakan terhadap wakil rakyatnya yang meninggalkan parti itu.

Dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), beliau berkata, keputusan itu diambil bagi menghormati kehendak ahli parti yang merasakan diri mereka dikhianati, selain wakil rakyat terbabit perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi pada PRU14 dengan menggunakan tiket BN.

13 Oktober 2018

PORT DICKSON

CALON PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sah memenangi PRK Port Dickson.

Keputusan diumumkan di Bilik Gerakan Utama PH tepat jam 9.28 malam menyaksikan Anwar memperoleh majoriti 31,016 diikuti calon Pas, Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi.

Pada 12 September lalu, penyandang kerusi Port Dickson Datuk Daniyal Balagopal Abdullah secara sukarela mengosongkan kerusinya buat Anwar bagi membolehkan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri ke lapan kelak.

18 Novembar 2018

SHAH ALAM

DATUK Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Presiden PKR selepas diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Datuk Rashid Din pada Kongres Nasional Ke-13 PKR.

Anwar sebelum ini menjadi Ketua Umum PKR, menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden parti untuk penggal 2018- 2020.

Jawatan Timbalan Presiden PKR pula kekal milik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menewaskan pesaingnya iaitu Rafizi Ramli.

2 Disember 2018

KUALA LUMPUR

MCA meluluskan usul membubarkan BN dan membentuk perikatan baharu dalam Perhimpunan Agung Tahunan di Wisma MCA.

Presidennya, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong berkata persetujuan dibuat sebulat suara kecuali seorang perwakilan tidak bersetuju tanpa menamakan individu tersebut.

No Image Caption

Katanya, Perhimpunan Agung memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Pusat untuk memulakan proses pembubaran BN serta membentuk perikatan politik baharu.

12 Disember 2018

KOTA KINABALU

Umno Sabah lumpuh selepas hampir kesemua anggota jawatankuasa perhubungan Umno negeri itu termasuk Pengerusinya, Daruk Seri Hajiji Mohd Noor Mengumumkan keluar parti.

Dalam sidang media, Hajiji berkata, semua ketua bahagian kecuali Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan mengumumkan keluar parti.

Lima Ahli Parlimen dan sembilan Adun keluar parti berkuat kuasa serta-merta antaranya Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).

13 Disember 2018

PUTRAJAYA

Bekas Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan menyertai Bersatu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, penyertaannya ke dalam parti itu dibuat atas dasar mahukan yang terbaik untuk pengundi Parlimen itu dan sentiasa mencari solusi yang lebih berkesan dalam membela kepentingan mereka.

Julai lalu, Mas Ermieyati mengumumkan keluar daripada parti itu dengan mendakwa keputusan itu dibuat selepas melihat reaksi, sentimen dan sikap sebenar ahli Umno yang masih dalam sindrom penafian termasuk harapan untuk melihat mereka memilih sekurang-kurangnya 70 peratus muka baru yang berwibawa dalam pemilihan Umno di pelbagai peringkat tidak kesampaian.

14 Disember 2018

SHAH ALAM

SELEPAS 14 wakil rakyat dan dua senator Sabah bertindak meninggalkan Umno, enam lagi Ahli Parlimen parti turut mengikut jejak langkah sama, semalam.

Mereka adalah, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah mendedahkan akan berlaku gelombang ketiga bertindak sama sepertinya.