Individu sunting gambar Sultan Mizan, Hadi tindakan biadab

Laporan polis dibuat di IPD Kuala Terengganu petang tadi.
Laporan polis dibuat di IPD Kuala Terengganu petang tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pemilik akaun Twitter yang menggunakan nama Tg Haslinda atas dakwaan menyunting gambar Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Pemudanya, Nasir Abdul Razak berkata, pihaknya kesal dengan tindakan pemilik akaun Twitter itu yang menyunting gambar yang dirakam sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M, Ahad lalu.

"Tindakan menukar dan menyunting gambar Tuanku Sultan kepada Datuk Seri Abdul Hadi adalah tindakan yang biadab dan tidak bertanggungjawab.

"Jadi, kami menggesa PDRM siasat tindakan biadab pemilik akaun berkenaan," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, jam 4 petang tadi.

Menurutnya, tuduhan pemilik akaun Twitter itu yang turut mendakwa Abdul Hadi sebagai pengerusi jawatankuasa pemilih bagi Tokoh Maal Hijrah Terengganu adalah tidak berasas.

"Keputusan pemilihan Abdul Hadi sebagai Tokoh Maal Hijrah telah dipersetujui di peringkat pihak istana dan beliau tidak terlibat di dalam pemilihan Tokoh Maal Hijrah.

Status yang didakwa dimuat naik pemilik akaun twitter menggunakan nama Tg. Haslinda.
Status yang didakwa dimuat naik pemilik akaun twitter menggunakan nama Tg. Haslinda.

"Kenyataan bahawa beliau (Abdul Hadi) terlibat dalam jawatankuasa pemilih adalah fitnah yang cukup besar. Dengan mempertikaikan keputusan itu, ia juga merupakan penghinaan kepada pihak istana dan kerajaan negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nasir turut menggesa pemilik akaun berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam semua status yang dimuat naik dan dikongsi di media sosial.

"Kami menggesa permohonan maaf secara terbuka dibuat dan status yang dimuat naik di laman sosial itu dipadamkan.

"Gesaan ini dibuat kerana kita tidak mahu biarkan atau buka ruang fitnah sewenang-wenangnya," katanya.

Terdahulu, tangkap layar bertajuk Adegan Yang Seronok Untuk Dilihat yang dikongsi dari status Twitter milik Tg. Haslinda pada 3 September lalu menunjukkan gambar ketika majlis sambutan Maal Hijrah itu telah disunting.

Status itu juga mendakwa Abdul Hadi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tokoh Maal Hijrah menyampaikan hadiah kepada dirinya sendiri.

"Beliau juga sudi menyampaikan hadiah kepada dirinya," tulisnya.

Bagaimanapun, hasil carian Sinar Harian hari ini mendapati status itu telah dipadam.