Mayat lelaki ditemukan terapung di sungai

Mayat yang dibawa naik oleh anggota APM dan polis semalam.
Mayat yang dibawa naik oleh anggota APM dan polis semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan terapung di Sungai Kampung Puyu, Semerak, Pasir Puteh semalam.

Mayat dengan sebahagian kesan terbakar itu ditemui penduduk kampung pada jam 3 petang.

Seorang penduduk kampung yang enggan namanya dikenali berkata, lokasi mayat ditemui berdekatan ladang kelapa sawit dan jarang dilalui penduduk.

“Laluan tepi sungai ini memang agak gelap dan sunyi. Ini kali pertama penemuan mayat berlaku di kawasan ini,

“Setakat ini pula saya tidak ada dengar penduduk sekitar ini kehilangan ahli keluarga,” katanya.

Mangsa yang ditemui dianggarkan berusia sekitar 20 hingga 30-an dan dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari yang lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak serta berbau busuk.

Difahamkan mayat berkenaan mempunyai kesan terbakar pada bahagian muka ditemukan dalam keadaan tidak berbaju dan berseluar jeans pendek serta identiti belum dikenal pasti.

Terdahulu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa naik mayat berkenaan dari sungai pada jam 6 petang

Artikel Berkaitan:

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat dihantar ke HTA Pasir Puteh untuk bedah siasat bagi mengesahkan punca kematiannya.