Mufti Pulau Pinang doakan Mejar Zahir tergolong syahid akhirat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor mendoakan anak kepada pelawak popular, A R Badul, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya termasuk dalam golongan syahid akhirat dan diangkat tinggi darjatnya dalam syurga.

"Kita harap beliau mati sebagai syahid akhirat kerana dia terbunuh ketika sedang berkhidmat di dalam tentera yang matlamatnya adalah untuk mempertahankan negara.

"Jadi boleh difahami sebagai mempertahankan tanah air yang merupakan hak rakyat Malaysia terutama umat Islam," katanya.

Bagaimanapun katanya, jenazah tersebut perlu dimandikan, dikapankan dan disolatkan seperti jenazah lain.

Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan insiden kematian seorang pegawainya, Mohd Zahir di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi.

TDM dalam satu kenyataan memaklumkan insiden tersebut berlaku sewaktu latihan demonstrasi keupayaan Tentera Darat semasa perasmian acara Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN: TDM siasat punca kejadian tragedi anak AR Badul

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, mati syahid terbahagi kepada tiga kategori iaitu syahid dunia yang perlu dilayani sebagai seorang syahid dan dikebumikan tanpa dimandi serta dikapan terlebih dahulu, namun ia tidak syahid di sisi ALLAH kerana tiada keikhlasan disebabkan berjuang dan mati kerana riak atau kepentingan peribadi tertentu.

Artikel Berkaitan:

Manakala syahid kedua pula adalah syahid akhirat dan jenazah perlu dikapan, dimandi dan disolatkan seperti jenazah orang Islam lain serta tergolong dalam kalangan orang meninggal dunia kerana mempertahankan keluarga, harta benda dan kampung halamannya.

Beliau berkata, pada hari akhirat nanti, dia akan diberi pahala syahid oleh ALLAH SWT.

"Kategori ini termasuklah wanita yang mati ketika melahirkan anak, orang yang mati kerana sakit perut, terkena wabak taun, mati lemas dan sebagainya," katanya.

Katanya, syahid dunia akhirat pula iaitu seseorang terbunuh dalam peperangan menentang musuh demi menegakkan kedaulatan agama ALLAH dengan ikhlas semata-mata bagi mencari reda-Nya.